1,500 Peserta Sertai Kejuaraan Silat Cekak Harimau Antarabangsa di Bandar Jengka
1,500 Peserta Sertai Kejuaraan Silat Cekak Harimau Antarabangsa di Bandar Jengka
MARAN – Kejuaraan Silat Cekak Harimau Nasional dan Antarabangsa Piala Datuk Seri Shahaniza kini kembali untuk edisi kelima yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mei ini di Bandar Jengka, Pahang.
Menurut Pengerusi Pengelola Kejuaraan, Pendekar Datuk Osman Nok, sebanyak 87 pasukan dengan penyertaan lebih 1,500 peserta mengambil bahagian, termasuk 250 pesilat dari luar negara.
“Alhamdulillah, kejohanan kali ini merupakan yang terbesar setakat ini. Kita menerima penyertaan dari semua negeri dalam Malaysia serta negara luar seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Australia dan Belanda (Netherlands),” katanya ketika ditemui di lokasi kejohanan.
Kejuaraan yang diadakan setiap dua tahun itu sebelum ini sering berlangsung di Temerloh, namun buat pertama kalinya diadakan di luar daerah tersebut atas permintaan penaja utama, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin serta peminat silat di daerah Maran dan Jengka.
Empat kategori dipertandingkan kali ini iaitu kategori IPT dan antarabangsa, pasukan Sukma Pahang remaja serta kategori tunas melibatkan pesilat cilik.
Majlis penutup serta penyampaian hadiah akan diadakan pada malam 4 Mei ini dan bakal dirasmikan sendiri oleh Datuk Seri Shahaniza.
Hadiah yang ditawarkan termasuk Piala Johan Keseluruhan, Piala Johan Kategori serta anugerah Pesilat Terbaik. Pemenang akan menerima piala iringan serta pingat emas, perak dan gangsa.
Antara pasukan tumpuan ialah Sukma Pahang dan pasukan dari Vietnam.
Tidak ketinggalan juga pasukan Indonesia yang menghantar empat kontinjen dari Sumatera Barat, Riau, Jakarta dan Aceh serta pasukan dari Yala, Thailand.
“Penyertaan dari Belanda amat kami hargai walaupun mereka mungkin tidak sehebat pasukan lain.
Namun semangat mereka untuk datang dari jauh memberikan inspirasi buat semua peserta,” tambah Osman.
Kejuaraan ini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa selepas memenuhi syarat kelulusan Suruhanjaya Sukan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.-SAHIH