“15 Tahun Menanti, Tradisi Kampung Kembali Meriah
“15 Tahun Menanti, Tradisi Kampung Kembali Meriah
TEMERLOH – Lebih 15 tahun tidak dianjurkan, suasana Kampung Batu Kapur kembali meriah dengan penganjuran Sukan Rakyat sempena sambutan Tahun Baru Hijrah 1447, dengan acara kemuncaknya – panjat pokok Pinang licin.
Program anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Kapur Mentakab itu berjaya menghimpunkan penduduk pelbagai kaum dari kampung dan kawasan sekitar, sekali gus menghidupkan semula warisan tradisi yang hampir dilupakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Kapur Mentakab , Muhammad Marizi Suhaimi , berkata penganjuran program itu adalah usaha mengembalikan nostalgia lama, selain menjadi simbol azam dan semangat baharu penduduk kampung.
“Program ini terakhir diadakan sekitar 15 tahun lalu. Tahun ini kita hidupkan semula sempena tahun baharu. Saya mengambil tanggungjawab mengeratkan hubungan komuniti,” katanya.
Menurutnya, pertandingan tahun ini dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu kanak-kanak dan dewasa, bagi memberi peluang kepada semua peringkat umur turut serta dalam sukan rakyat itu.
“Kita mulakan dengan kategori kanak-kanak dahulu, sebelum dewasa. Semua gembira, ada yang pertama kali sertai. Ini bukti semangat kekitaan masih kuat di kampung ini,” katanya.
Antara acara menarik ialah panjat pokok pinang, tarik tali, sukan rakyat untuk kanak-kanak dan pelbagai cabutan bertuah. Hadiah yang digantung di puncak batang pinang termasuk wang tunai, gitar, baju dan tayar motosikal.
Penduduk tempatan, Suhairi Wahab, 35, berkata ini adalah kali keempat dia menyertai acara itu sejak remaja dan mengakui sambutannya amat luar biasa tahun ini.
“Saya memang anak jati kampung ini. Dulu masa remaja dah tiga kali panjat. Tahun ni cuba lagi walaupun dah 35 tahun. Sambutan sangat meriah dan hadiah pun menarik,” katanya.
Fatah Yaakob, 30, dari Taman Saga, Mentakab pula teruja dengan pengalaman pertamanya menyertai sukan rakyat.
“Ini kali pertama saya sertai. Seronok sangat. Target saya hari ni, nak menang gitar!” katanya.
Peserta, Dorasami a/l Permal, 45, berkata walaupun berbangsa India, dia tidak kekok untuk turut serta dan bergaul dengan penduduk setempat.
“Saya tinggal dan kerja di sini. Walaupun saya India, saya orang Pahang. Saya suka suasana macam ni, semua kaum boleh bersatu. Dapat hadiah atau tidak, itu belakang kira, yang penting enjoy,” katanya.
Menurut Marizi, kebanyakan penaja hadiah dan kelengkapan adalah dalam kalangan penduduk kampung sendiri yang bergotong-royong menjayakan program berkenaan.-SAHIH