15 keluarga orang Asli Kampung Yong Kuala Tahan terselamat daripada serangan gajah
15 keluarga orang Asli Kampung Yong Kuala Tahan terselamat daripada serangan gajah
JERANTUT – Lima belas keluarga Orang Asli di Kampung Yong, Kuala Tahan bertempiaran lari dalam gelap menyelamatkan diri daripada serangan gajah yang berlaku pada jam 2.00 pagi, hari ini.
Kejadian itu disedari seorang penduduk Orang Asli etnik Bateq Kampung Yong, Cangap a/l Jusoh, 27, ketika hampir tidur, dia berasa pondok kayu beratap bertam tempat tinggalnya bergoyang dan terdengar bunyi yang kuat di luar rumah.
“Saya terus bangun dan pergi ke arah dapur, saya lihat sekor gajah sedang menolak dan menggoncang dinding dengan belalainya dan cuba mendapatkan makanan.
“Saya terus keluar dari rumah menyelamatkan diri ke tempat selamat sambil menjerit meminta jiran saya bangun untuk menyelamatkan diri,” katanya di Kampung Yong, berdekatan Taman Negara Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Katanya, sudah berlaku lima kali sejak awal tahun ini dan pagi hari ini antara yang paling dahsyat serangan gajah kerana melibatkan kerosakan pondok tempat tinggal dan makanan seperti beras.
Penyelaras Sukarelawan Nature Lifeguard, Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim berkata, kejadian pencerobohan gajah liar di perkampungan Orang Asli dan kawasan sekitar kerap berlaku.
“Tetapi sejak kebelakangan ini, haiwan liar ini semakin agresif dan turut memusnahkan pondok tempat tinggal , makanan dan tanaman berdekatan perkampungan.
“Ancaman gajah ini turut melibatkan penempatan Orang Asli Kampung Dedari, Kampung Yong, Kampung Teresek dan kelmarin cuba menceroboh Kampung Tabung, tetapi tidak dapat masuk kerana berjaya dihalang penduduk,” katanya.
Katanya, kejadian di Kampung Yong berlaku tidak sampai 24 jam kejadian gajah menyerang Kampung Simoi Baru di Lipis dan mengakibatkan kematian seorang wanita kampung tersebut. –SAHIH.