147 ATLET IPT DAPAT ‘DURIAN RUNTUH’
Berita Sukan
147 ATLET IPT DAPAT ‘DURIAN RUNTUH’
PUTRAJAYA: Seramai 147 atlet institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyumbang pingat pada Sukan SEA Filipina 2019 mendapat pengiktirafan dan insentif daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kelmarin.
Penyerahan insentif pada ketika aktiviti sukan negara masih sepi daripada pertandingan ternyata menceriakan mereka yang menjadi antara penyumbang pingat utama di temasya itu.
Berdasarkan rekod, daripada jumlah 773 kontinjen negara beraksi di Filipina, 233 daripadanya atlet IPT.
Lebih menarik, mereka menyumbang 29 pingat emas daripada keseluruhan 55 emas diperoleh kontinjen Malaysia selain memenangi 29 perak dan 27 gangsa.
Ratu gimnastik artistik, Farah Ann Abdul Hadi muncul penerima insentif tertinggi individu apabila membawa pulang wang tunai RM6,000 selepas memenangi tiga pingat emas.
Skuad olahraga pula mendapat insentif tertinggi RM17,000 menerusi kejayaan tiga pingat emas, lapan perak dan lima gangsa diikuti bola jaring dan terjun masing-masing menerima RM14,000.
Paling istimewa apabila buat kali pertama KPT memberikan penghormatan kepada lima atlet yang sudah melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos tahun depan.
Mereka ialah Farah Ann, Khairulnizam Mohd Affendy (perahu layar), Nur Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee dan Wendy Ng (terjun) yang disarungkan blazer khas UOlimpian IPT oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad.
“Saya berharap suatu hari nanti, atlet IPT berjaya membawa pulang pingat emas di Universiade dan Sukan Olimpik, IPT akan terus menyokong pembangunan sukan di IPT dan terus menjaga kebajikan atlet,” kata Noraini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr Zabri Yusoff dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Rosli Yaakub.