14 rumah dibanjiri awal pagi di Kg Bharu Jerantut
Foto atas: Laluan masuk ke sebuah rumah ditenggelami air kira-kira 0.5 meter, pagi ini.-Foto media sosial.
JERANTUT – Sebanyak 14 buah rumah terdiri daripada 36 orang serta sebuah kedai roti canai mengalami kejadian banjir kilat pada awal pagi tadi di Kampung Baharu, dekat sini, hari ini.
Kejadian itu berlaku mulai jam 3.00 pagi berikutan hujan lebat sejak malam semalam sehingga menyebabkan air Sungai Teh melimpahi tebing dan memasuki kawasan kediaman kampung tersebut yang berdekatan jalan raya Jerantut – Benta, hari ini.
Jurucakap Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Baharu berkata, hujan lebat sejak malam semalam hingga ke awal pagi menyebabkan air Sungai Teh melimpah masuk ke kawasan kampung mulai pukul 4 pagi.
“Air begitu cepat melimpah ke kawasan kediaman penduduk berikutan air Sungai Teh cetek dan saliran sempit.
“Namun kejadian ini tidak melibatkan pemindahan penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Air surut dalam tempoh tiga jam kemudian,” katanya di Kampung Baru dekat sini hari ini.
Seorang penduduk, Mohd. Nasir Mat Jusoh, 68, berkata, dia tidak menyangka air boleh sampai ke kediamannya mencecah paras lutut.
“Kita cuma mengangkat peralatan perabot dan eletrik ke tempat selamat apabila menyedari air memasuki ruang dalam rumah, malah jiran saya tidak sempat menyelamatkan sebahagian peralatan.
“Kanak-kanak dan warga emas dibawa ke rumah jiran berdekatan di tempat tinggi. Namun kejadian ini tidak melibatkan pemindahan walaupun hujan masih turun,” katanya.
Rakannya yang mahu dikenali sebagai Salimin berkata, kejadian itu kerap berlaku apabila hujan lebat dan kejadian itu dan sudah tiga kali berulang sejak awal tahun ini.
“Banjir kilat ini kerap berlaku beberapa tahun kebelakangan ini turut membawa lumpur sehingga Sungai Teh menjadi cetek.
“Inilah senario yang berlaku setiap kali hujan lebat dan penduduk di sini kerap berdepan banjir kilat boleh dikatakan setahun sebanyak lima kali kejadian ini sehingga banyak melibatkan kerosakan harta benda,” katanya.-SAHIH.