14 MAUT BAS LANGGAR PERIUK API
14 MAUT BAS LANGGAR PERIUK API
MOGADISHU: Sebuah bas mini meletup selepas terlanggar periuk api hari ini, menyebabkan 14 mangsa terbunuh dan empat lagi cedera di Somalia.
Pegawai kerajaan dari wilayah Hirshabelle, Andikarim Mohamed, berkata tragedi di pinggir ibu kota Somalia, Mogadishu, itu dikaitkan dengan tindakan pengganas.
“Kejadian mengerikan lagi dahsyat ini berlaku kira-kira 30 kilometer (km) ke utara Mogadishu.
“Kami sahkan seramai 14 maut dan empat lagi cedera dalam kejadian di tengah jalan antara Mogadishu dan Balcad,” katanya.
Komander Tentera Somalia, Abshir Mohamed, yang bertugas di kawasan terbabit, menuduh tragedi itu didalangi pertubuhan berkaitan al-Qaeda, Al Shabaab Islamist, yang sering melakukan serangan di negara berkenaan.
“Pengganas ini tidak peduli siapa mangsa mereka dan sengaja menyasarkan orang awam.
“Mereka memasang periuk api yang membunuh orang awam yang tidak bersalah ketika menjalani kehidupan seharian,” katanya kepada media tempatan.
Sementara itu, seorang saksi, Mohamud Adan, memberitahu AFP beliau melihat banyak mayat mangsa yang dibawa keluar dari lokasi letupan itu.