14 KAWAH ASYURA MERIAHKAN SAMBUTAN HARI MALAYSIA JENGKA 24
Penduduk Felda Jengka 24 bergotong royong mengacau bubur asyura dengan berpakaian bertema kemerdekaan memberi satu kelainan yang menunjukkan jati diri yang tinggi bersempena Hari Malaysia yang disambut pada bulan ini .
Penganjuran mengacau bubur asyura secara gotong royong menguatkan ukhwah sesama penduduk selain menonjolkan kemeriahan dan keceriaan penduduk yang terus diamalkan di situ yang diadakan saban tahun.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia sambutan bubur asyura tahun ini lebih berseri dan berwarna-warni apabila penduduk yang hadir memakai pakaian bertemakan kemerdekaan
“Oleh kerana program seperti ini diadakan setiap tahun, penduduk di tanah rancangan ini menjadikan sebagai satu acara sambutan yang dinanti-nantikan dan kebetulan pula jatuh pada bulan kemerdekaan.
“Sebanyak 14 kawah bubur asyura di masak pada tahun ini, 10 kawah daripada setiap blok tanah rancangan di sini dan masing-masing satu kawah daripada askar wataniah, golongan guru, kakitangan pejabat Felda dan Majlis Belia Felda Malaysia Jengka,”katanya, di Perkarangan Masjid Felda jengka 24, hari ini.
Katanya, gotong-royong memasak bubur Asyura itu mengambil masa selama tujuh hingga sembilan jam dan bubur diagihkan kepada peserta yang mengambil bahagian selain turut diedarkan kepada penduduk rancangan dan kampung berdekatan.
Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Siti Hajar Mubin yang juga Ketua Wanita UMNO Pahang
Sementara itu, Pengurus Felda Jengka 24, Mohd Tamrin Zakaria berkata, pihak pengurusan Felda berterima kasih kepada semua yang terbabit bertungkus lumus membantu menjayakan program ini.
“Pek bubur asyura turut diagihkan kepada peneroka di tanah rancangan ini dan penduduk berhampiran seperti Kampung Bukit Nikmat Hulu, Kampung Bukit Nikmat Hilir, Kampung Durian Hijau, Jengka 25 dan Jengka 13,”katanya.
Program itu juga memberi peluang kepada penduduk untuk menikmati bubur asyura yang dimasak menggunakan resepi peneroka yang berasal daripada pelbagai negeri masing-masing.
“Secara tidak langsung ia dapat menyemarakkan lagi sambutan awal Muharram dan bulan kemerdekaan di kalangan masyarakat dengan aktiviti memasak bubur asyura yang diadakan setahun sekali,”katanya.
#sahih
#yangpastisahih