126 DARI MEDAN 88 DISARING ESOK
SARINGAN MEMBABITKAN PEKERJA, MAJIKAN
SEPANG: Seramai 126 individu yang bekerja di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi di sini, dijangka menjalani ujian saringan COVID-19, esok.
Mereka adalah individu yang tidak menetap dalam kawasan itu yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata mereka terdiri daripada majikan dan pekerja kedai serta pejabat yang beroperasi di kawasan Medan 88.
“Esok dan Khamis, dijangka seramai 126 individu akan disaring dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari. Mereka terdiri daripada majikan dan pekerja kedai dan pejabat di Medan 88,” katanya kepada BH Online.
Wan Kamarul Azran berkata, setakat ini, seramai 50 pekerja sudah menjalani ujian saringan dan kuarantin selama 14 hari di luar.
Sementara itu, katanya, seramai empat warga Indonesia termasuk seorang wanita yang menetap di Medan 88 yang sebelum ini menghilangkan diri, pulang hari ini.
Dianggarkan antara 700 hingga 800 penduduk termasuk warga asing tinggal di Medan 88 yang dikenakan PKPD bermula 12 sehingga 25 November ini.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 400 penduduk di kawasan berkenaan menghilangkan diri dan gagal menjalani ujian saringan selepas kawasan itu dikenakan PKPD.
Wan Kamarul Azran berkata, setakat ini, jumlah penduduk yang direkodkan di kawasan Medan 88 adalah 347 orang termasuk dua warga tempatan yang selesai menjalani rawatan COVID-19 di Hospital Sungai Buloh (HSB).
Setakat semalam, katanya, seramai 36 penduduk yang menghilangkan diri sudah pulang dan menjalani ujian saringan.
“Daripada jumlah itu, 23 terdiri daripada warga asing dan 13 warga tempatan, membabitkan 27 lelaki dan sembilan wanita.
“Warga asing yang pulang adalah 11 lelaki dan dua wanita warga Indonesia, tiga lelaki dan empat wanita warag Thailand serta masing-masing seorang lelaki warga India, Myanmar dan Nepal.