1,227 pengguna terjejas gangguan air di Felda Padang Piol
1,227 pengguna terjejas gangguan air di Felda Padang Piol
JERANTUT – Seramai 1,227 pengguna di Felda Padang Piol, Kampung Gajah Mati dan sekitar Kampung Seberang Batu Embun terjejas akibat gangguan bekalan air sejak malam Isnin.
Susulan aduan diterima, satu lawatan ke Loji Rawatan Air Felda Padang Piol serta kawasan perkampungan sekitar dilakukan semalam bagi meninjau situasi berkenaan.
ADUN Lantikan, Haris Salleh Hamzah berkata, menurut Pengurusan Air Pahang Berhad, gangguan berpunca daripada kerosakan di loji rawatan air yang berlaku pada 16 Mac kira-kira jam 11.30 malam.
Katanya, kerosakan awal melibatkan fius loji sebelum operasi kembali terganggu apabila pam air utama rosak, dipercayai akibat kemasukan objek asing seperti kayu atau haiwan ke dalam sistem.
“Pam utama telah berjaya dibaiki dan kerja pemulihan sedang giat dijalankan.
“Seramai 16 petugas berada di lokasi bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya.
Menurutnya, sebuah pam tambahan turut dipasang bagi mempercepatkan proses pemulihan.
Dalam pada itu, sebanyak 19 tangki statik ditempatkan di beberapa lokasi sekitar Felda Padang Piol untuk kegunaan Penduduk dengan penambahan akan dibuat mengikut keperluan semasa.
“Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat, bermula di kawasan rendah sebelum disalurkan ke kawasan lain.
“Penduduk dinasihatkan agar bersabar serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PAIP Jerantut atas tindakan pantas dalam menangani isu berkenaan demi kesejahteraan penduduk setempat.-SAHIH.
