12 jam pindah mercun haram RM400,000 guna lima lori, lelaki direman tiga hari
12 jam pindah mercun haram RM400,000 guna lima lori, lelaki direman tiga hari
BERA: Polis merampas mercun pelbagai jenis bernilai dianggarkan antara RM300,000 hingga RM400,000 dalam serbuan di sebuah premis di Triang, di sini, Jumaat lalu, dipercayai untuk dijual sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Serbuan kira-kira jam 6 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di sebuah premis tingkat bawah di Jalan Highway Triang, hasil maklumat awam berhubung kegiatan penjualan mercun secara haram.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pemeriksaan menemui seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun serta 112 jenis mercun dipercayai diimport dari China.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang lesen sah bagi pemilikan atau penjualan mercun berkenaan.
“Nilai rampasan dianggarkan antara RM300,000 hingga RM400,000 dan semua mercun dirampas untuk siasatan lanjut.
“Suspek ditahan dan direman selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Januari 2026 bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam operasi itu, polis mengambil masa kira-kira 12 jam untuk memindahkan semua mercun yang dirampas dengan bantuan 12 pegawai dan anggota, membabitkan penggunaan lima lori.
Katanya, semua mercun dibawa ke lokasi penyimpanan khas bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
Zulkiflee berkata, polis percaya mercun berkenaan disimpan sebagai stok untuk dijual menjelang musim perayaan, khususnya Tahun Baharu Cina.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti penjualan mercun tanpa lesen dan menegaskan pemantauan berterusan akan dilakukan di daerah ini.-SAHIH
