119 Unit Rumah PPRM Untuk Penduduk Pelangai
119 Unit Rumah PPRM Untuk Penduduk Pelangai
BENTONG – Seramai 119 penduduk di kawasan Pelangai, dekat sini, terpilih menerima rumah projek perumahan rakyat dimiliki (PPRM) Pahang.
Majlis cabutan undi bagi unit rumah itu diadakan pada Ahad lalu oleh ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.
Beliau berkata, kerajaan Pahang sentiasa berusaha menawarkan lebih banyak kediaman mampu milik kepada penduduk negeri ini.
“Seramai 119 penerima terpilih untuk fasa pertama PPRM dan insya-Allah, lebih banyak lagi projek seumpama ini akan ditawarkan kepada penduduk Pahang,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Johari yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang berkata, kerajaan Pahang memberi komitmen penuh dalam menyediakan lebih banyak projek perumahan pada harga berpatutan kepada rakyat di negeri ini.
“Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa berusaha menawarkan kediaman mampu milik kepada setiap anak Pahang.
“Ini adalah usaha berterusan bagi memastikan lebih ramai rakyat Pahang mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.
tamat-SAHIH