115 JUTA PENDUDUK DUNIA MISKIN TAHUN INI
Berita Global
115 JUTA PENDUDUK DUNIA MISKIN TAHUN INI
WASHINGTON: Bank Dunia memberi amaran seramai 115 juta penduduk dunia dijangka berdepan kemiskinan tahun ini ekoran kemerosotan ekonomi global akibat pandemik COVID-19.
Presiden Bank Dunia, David Malpass, dalam satu kenyataan, berkata jumlah itu lebih tinggi berbanding anggaran Ogos lalu yang mengatakan 100 juta penduduk dunia akan dihimpit kemiskinan.
“Bagi mengekang kesan serius ini terhadap kemajuan pembangunan dan mengurangkan kemiskinan, semua negara perlu mempersiapkan persekitaran ekonomi yang berbeza ketika pasca COVID-19.
“Mereka harus biarkan modal, tenaga kerja, kemahiran dan inovasi bergerak ke dalam perniagaan dan sektor baru mengikut perkembangan semasa,” katanya.
Tambah beliau, laporan terbaru itu turut mengunjurkan bahawa menjelang 2021, 150 juta penduduk dunia akan hidup di bawah paras kemiskinan melampau dengan pendapatan kurang AS$1.90 (RM7.89) sehari.
“Pandemik dan kemelesetan global boleh menyebabkan lebih daripada 1.4 peratus penduduk dunia berada dalam kategori kemiskinan yang melampau,” katanya.
Sekiranya wabak itu tidak melanda, kadar kemiskinan tegar global diramal turun kepada 7.9 peratus, namun ia kini sudah naik setinggi 9.4 peratus, menurut laporan utama bank itu.
Ahli ekonomi Bank Dunia memaklumkan, jumlah penduduk berdepan kemiskinan baru tahun ini adalah sekitar 88 juta hingga 115 juta penduduk itu.
Ia bergantung kepada prospek ekonomi global, yang menurut anggaran badan pemberi pinjaman krisis berpusat di Washington itu, berkisar dari penguncupan lima peratus hingga lapan peratus dalam senario paling buruk.
Ini akan membantutkan kemajuan selama puluhan tahun dalam usaha mengurangkan kemiskinan tegar dan penulis laporan itu memberi amaran supaya titik kemiskinan diwujudkan di kawasan yang berdepan krisis ekonomi atau konflik.
Hasil penyelidikan juga mendapati peningkatan jumlah mereka yang hidup dalam kemiskinan tegar di kawasan bandar, yang secara langsung menggugat program sedia ada bagi mengurangkan kemiskinan dalam kalangan penduduk luar bandar.
Menurut Bank Dunia, tumpuan terhadap pandemik COVID-19 selain tekanan konflik dan perubahan iklim, matlamat membasmi kemiskinan pada 2030 mungkin tidak dapat dicapai tanpa tindakan asas yang proaktif.
Ia turut memberi amaran bahawa kadar kemiskinan global boleh berada sekitar tujuh peratus pada dekad berikutnya.
Bank itu menegaskan, tindak balas mesti seiring dengan kesan teruk krisis terbabit, termasuk memodenkan pendidikan dan pembelajaran dalam talian serta penggunaan teknologi baru untuk memperluaskan jangkauan perlindungan sosial.
Melihat definisi kemiskinan yang lebih luas, laporan itu mendapati hampir 25 peratus penduduk dunia hidup di bawah garis pendapatan AS$3.20 (RM13.3) sehari.
Selain itu, lebih 40 peratus atau hampir 3.3 bilion penduduk hidup di bawah garis pendapat AS$5.50 (RM22.85) sehari.
Sumber: AFP