11 PASAR MALAM DITUTUP
Berita Nasional
11 PASAR MALAM DITUTUP
SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan 11 pasar malam berhampiran Mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditutup sementara waktu.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim, berkata 11 pasar malam di bawah pentadbiran MBSA itu membabitkan Seksyen 17; 25; 30; 31; 32; 34 dan 36 selain U13, Setia Alam.
“Pasar malam yang terbabit dengan penutupan ini berada dalam kawasan PKPB, ada yang bersempadan serta terlalu hampir.
“Contohnya, Kampung Padang Jawa, Kampung Lombong dan Setia Alam walaupun bukan dalam kawasan PKPB tetapi kedudukannya bersempadan dengan kawasan PKPB, malah ramai peniaga dan pembeli dari kawasan PKPB.
“Penutupan ini dibuat kerana kita sangat bimbang berlaku penularan wabak COVID-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Haris berkata penutupan itu hanyalah untuk tempoh waktu sepanjang PKPB sahaja, manakala tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan barangan serta penamatan lesen akan diambil tanpa sebarang notis lanjut sekiranya peniaga gagal mematuhi arahan ini dan MBSA tidak akan menanggung sebarang kos kerugian yang berkaitan.
Sejak semalam, notis arahan penutupan bertarikh 9 Oktober itu tersebar di media sosial terutamanya di aplikasi WhatsApp penduduk sekitar Shah Alam.