1,000 keluarga Shukor dan Kardinah berkumpul hari keluarga
1,000 keluarga Shukor dan Kardinah berkumpul hari keluarga
Foto : Sebahagian 1,000 ahli keluarga dan waris Allahyarham Shukor serta Allahyarhamah Kardinah merakamkan kenangan selepas menyertai program Hari Keluarga baru-baru ini.
Sambutan Aidilfitri 2025 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) RKT Sri Ledang, Tangkak, Johor mencatatkan sejarah yang amat bermakna bagi ahli keluarga dan waris Allahyarham Shukor Abdullah dan Allahyarhamah Kardinah Partisan bertema “Eratkan Silaturahim dengan Kasih Sayang.”
Seribu ahli keluarga berkumpul dalam Hari Keluarga, program ini merupakan inisiatif keluarga untuk menyatukan semua generasi pertama hingga ketujuh, mengeratkan hubungan silaturahim dan memanfaatkan bulan Ramadan yang penuh barakah.

Ahli keluarga dan waris memenuhi Dewan Sekolah Kebangsaan RKT Sri Ledang, di Tangkak, Johor untuk mengaminkan doa.
Pengerusi program, Suhaimi Ariffin, menyatakan bahawa untuk mengadakan acara sebesar ini bukanlah perkara mudah.
“Sebuah jawatankuasa khas terpaksa dibentuk untuk memastikan kelancaran acara, melibatkan pelbagai tugasan dari persediaan tempat hinggalah kepada protokol dan kebersihan.
“Cabaran terbesar adalah memastikan semua ahli keluarga dapat dihubungi, terutama mereka yang berada jauh, menggunakan teknologi seperti WhatsApp dan Telegram untuk memaklumkan mengenai acara ini,” katanya.
Katanya, berkat kerjasama ahli keluarga, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan jemputan khas diberikan kepada ahli keluarga dari pihak isteri Allahyarham (Buyut) seramai 40 orang.

Suhaimi menyerahkan sumbangan hari raya kepada salah seorang waris kurang upaya.
“Mereka diberi layanan istimewa sebagai tanda penghargaan, selain menjamu selera dengan pelbagai hidangan hari raya, acara ini turut dimeriahkan dengan penyampaian sumbangan dan majlis bacaan Yasin, tahlil, doa selamat, serta marhaban.
“Kejayaan program ini amat menggembirakan kerana ia memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berkenalan lebih rapat, berkongsi pengalaman hidup, dan mempereratkan ikatan kekeluargaan,” katanya.
Kata Suhaimi, program ini bukan sahaja memberi kesan yang besar kepada mereka yang hadir tetapi juga memberi impak positif kepada generasi yang akan datang dengan harapan acara serupa dapat diteruskan bagi memastikan hubungan silaturahim sentiasa kukuh.
“Program ini menekankan pentingnya menjaga hubungan kekeluargaan dan kasih sayang dalam kehidupan, serta mengingatkan tentang nilai-nilai murni yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat,” katanya. – SAHIH.