1,000 DOS VAKSIN COVID-19 ROSAK
1,000 DOS VAKSIN COVID-19 ROSAK
TOKYO: Jepun hari ini memulakan siasatan berhubung kes lebih 1,000 dos vaksin COVID-19 yang terpaksa dibuang berikutan peti sejuk beku tidak berfungsi.
Sebuah institusi perubatan melaporkan, 172 bebuli vaksin Pfizer BioNTech yang perlu disimpan pada suhu antara -80 dan -60 darjah Celsius, didapati rosak selepas peti sejuk beku rosak pada hujung minggu.
Menurut Kementerian Kesihatan Jepun, akibat kerosakan itu, 1,032 dos vaksin didapati rosak dan terpaksa dibuang.
GAMBAR HIASAN
Jepun memulakan program inokulasi pada 17 Februari lalu, berbaki lima bulan lagi sebelum Sukan Olimpik Tokyo, dengan hanya meluluskan penggunaan vaksin Pfizer BioNTec setakat ini.
Jurucakap kerajaan Jepun, Katsunobu Kato, hari ini berkata punca peti sejuk beku itu tidak berfungsi masih belum jelas tetapi firma yang memasang peralatan itu akan menyiasat dan melaporkan kembali.
Jelas beliau, Jepun menyediakan sekitar 100 peti sejuk beku untuk menyimpan vaksin di negara itu setakat hujung Februari lalu.
“Kita mahu memberi maklum balas secepat mungkin terhadap apa yang diperlukan, berdasarkan hasil siasatan dilakukan oleh syarikat yang memasangnya,” katanya.
Jepun mula memberi vaksin kepada petugas kesihatan pada pertengahan Februari lalu.
Menteri yang bertanggungjawab dengan proses itu, Taro Kano, mengakui beliau tidak tahu berapa jumlah penduduk yang akan menerima suntikan vaksin sebelum bermulanya Sukan Olimpik pada 23 Julai depan.
Bagaimanapun, semalam beliau mengesahkan Jepun sudah memberi suntikan dos pertama vaksin kepada hampir 32,000 doktor dan jururawat
GAMBAR HIASAN
Negara itu memeterai perjanjian dengan tiga syarikat farmaseutikal utama untuk membeli dos mencukupi bagi penduduk seramai 126 juta penduduk.
Jepun juga sedang berusaha untuk mendapatkan jarum suntikan khas yang mencukupi untuk mengekstrak enam dos penuh dari setiap bebuli vaksin Pfizer, lapor AFP.
Dengan pelaksanaan program vaksinasi secara berhati-hati, Jepun pada awalnya merancang untuk memberi vaksin kepada 40,000 petugas penjagaan kesihatan seluruh negara itu.
Pada bulan ini, Jepun akan melaksanakan suntikan terhadap 3.7 juta pekerja dan program vaksinasi untuk sekitar 36 juta penduduk berusia 65 tahun ke atas dijadualkan bermula pada bulan depan.