100 INDIVIDU MILIKI 2 KERAKYATAN DIUSIR
Berita Politik
100 INDIVIDU MILIKI 2 KERAKYATAN DIUSIR
PAPAR: Pasukan keselamatan berjaya menghalau lebih 100 individu dipercayai memiliki dua kerakyatan selepas cuba memasuki perairan Sabah untuk pulang mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua individu ini dikesan cuba memasuki perairan negara melalui sempadan laut di Sandakan dengan menaiki dua bot jongkong dan dua bot laju.
“Kita terpaksa menghalang mereka kerana melalui jalan yang tidak sah… bukan menafikan hak mereka untuk mengundi, tetapi cara mereka masuk tidak betul dan kita perlu halang.
“Kita percaya mereka mempunyai dua dokumen atau dwi kerakyatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, semalam.
Hazani berkata, halangan itu juga dilakukan kerana mengelak penularan wabak COVID-19.
“Sepatutnya mereka menggunakan laluan yang sah dan perlu (melalui) pemeriksaan kesihatan.
“Tetapi mereka menggunakan jalan belakang (tidak sah) dan kita perlu menghalang mereka bagi mengelak sebarang penularan wabak COVID-19 dalam masyarakat di Sabah,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai keadaan proses pengundi PRN, Hazani berkata, setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan keadaan tenang dan terkawal di semua pusat-pusat mengundi di negeri ini.
“Sepanjang tempoh kempen yang berakhir tengah malam tadi, polis menerima sebanyak 193 laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 58 kertas siasatan dibuka dan kebanyakan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo