100 ANGGOTA JPJ WILAYAH TERIMA SUMBANGAN
100 ANGGOTA JPJ WILAYAH TERIMA SUMBANGAN
KUALA LUMPUR: Seramai 100 orang petugas barisan hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan telah menerima pek sumbangan berupa barangan keperluan harian di bawah Projek Barang Asas 100 (BA100) daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), kelmarin.
Sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM7,000 tersebut bertujuan untuk membantu individu serta anggota koperasi termasuk petugas-petugas barisan hadapan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 melalui Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) CoopCare ANGKASA, selaras dengan prinsip ketujuh koperasi, prihatin terhadap masyarakat.
Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihak ANGKASA amat menghargai jasa barisan hadapan kerana telah banyak mengorbankan masa dan tenaga demi menangani pandemik ini.
“Saya mewakili gerakan koperasi di negara ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada golongan barisan hadapan dan memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan selepas ini.
“Tujuan sumbangan sebegini bukan sekadar untuk meringankan beban, malah ia juga membantu mengeratkan silaturrahim antara ANGKASA dan jabatan kerajaan khususnya dari golongan anggota koperasi,”katanya, di Majlis sumbangan bertempat di Dewan Merpati, JPJ Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Turut hadir, Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Mohd Zaki Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Wilayah Persekutuan, Datuk Abdul Razak Hussain, Timbalan Pengerusi JPAN Wilayah Persekutuan, Sharifah Aminah Syed Mohssain, Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Zulkifli Ismail dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat, Halim Ibrahim.
Katanya, setakat ini, sebanyak 68 program sebegini telah dianjurkan sejak bermulanya pandemik Covid-19 pada tahun lepas dan telah menyantuni lebih kurang 60 ribu individu yang terkesan.-SAHIH.