10 PEMANCING TERPERANGKAP BANJIR DI SEKITAR KEBUN SAWIT DI DENGKIL
10 PEMANCING TERPERANGKAP BANJIR DI SEKITAR KEBUN SAWIT DI DENGKIL
PETALING JAYA: Sepuluh individu termasuk seorang kanak-kanak 11 tahun berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam banjir ketika memancing di sebuah lombong di kawasan kebun sawit di Dengkil, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.28 malam, dan memulakan operasi menyelamat sekitar 20 minit kemudian. Semua mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan sekitar 10.27 malam, menurut laporan Bernama.
Menurutnya, semua mangsa adalah rakyat tempatan termasuk kanak-kanak berusia 11 tahun, mungkin mereka tidak menyedari air naik sehingga 3 meter di kawasan mereka memancing akibat hujan hingga menyebabkan mereka terperangkap.
“Mereka panik semasa hendak keluar meninggalkan kawasan itu dan membuat panggilan kecemasan (kepada bomba dan penyelamat) untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Hafisham berkata, anggota bomba dan penyelamat berjaya membawa mangsa keluar melalui laluan alternatif dan membawa mereka ke Pos Kawalan Bomba (PKB) sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Mangsa, Zairul Nizam Shaari yang membuat panggilan kecemasan kepada pihak bomba dan penyelamat berkata mereka berada di kawasan lombong berkenaan sejak 6 pagi dalam kumpulan berasingan untuk memancing.
“Hujan lebat mula turun tiga, empat jam sejak 7 pagi dan air naik tiba-tiba. Masing-masing mencari tempat tinggi untuk selamatkan diri. Kami terkandas dalam kebun sawit sehingga bomba selamatkan kami,” katanya yang buat julung kali memancing di kawasan itu.