10 JUTA PENDUDUK QINGDAO BUAT SARINGAN COVID-19
Berita Global
10 JUTA PENDUDUK QINGDAO BUAT SARINGAN COVID-19
BEIJING: Kira-kira 10 juta penduduk di kota Qingdao sudah menjalani saringan COVID-19, berikutan pihak berkuasa berusaha menghentikan penularan wabak itu melalui program ujian dalam skala besar.
Timbalan Datuk Bandar, Luan Xin berkata, lebih daripada 9.9 juta sampel sudah dikumpul dan 7.6 juta keputusan sudah dikembalikan, sambil menambah bahawa tiada kes baru yang ditemui.
Katanya, bandar itu kini mempunyai 13 kes dan petugas kesihatan berada di landasan yang tepat untuk menyelesaikan ujian 9.4 juta penduduk dan 1.5 juta pelawat esok, iaitu lima hari selepas program dilancarkan.
Ujian besar-besaran dilakukan berikutan penemuan 12 kes yang berkaitan dengan Qingdao Municipal Chest Hospital iaitu hospital yang merawat pesakit COVID-19 yang tiba dari luar negara.
Sementara itu, biro kesihatan setempat, dalam satu kenyataan, menjelaskan ketua hospital terbabit, Deng Kai, sudah dipecat hari ini dan siasatan sedang dijalankan tetapi tidak ada sebarang perincian lanjut diberikan.
Pemecatan Deng berlaku sehari selepas Ketua Biro Kesihatan Bandar, Sui Zhenhua digantung jawatannya dan disiasat, malah Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan Beijing juga tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.
Daripada 13 kes yang disahkan, lapan dirawat di Qingdao Municipal Chest Hospital dan satu adalah ahli keluarga pesakit.
Pihak berkuasa tidak berkongsi mengenai maklumat peribadi empat pesakit lagi, tetapi mengatakan ia berkait rapat dengan hospital berkenaan.
Pegawai mengatakan mereka masih berusaha untuk menentukan sumber tepat wabak di Qingdao.
Berbanding bandar besar lain di China sebelum ini, Qingdao tidak pernah melaksanakan perintah sekatan terhadap penduduk dengan pengunjung bebas untuk datang dan pergi sesuka hati.
Beijing yakin dengan kemampuan ujian yang pesat dengan Parti Komunis ingin menggambarkannya sebagai satu kemenangan terhadap virus itu, berbanding negara lain yang bertungkus lumus dengan perintah sekatan dan penularan yang berleluasa.
Sumber : AFP