1.4 JUTA VAKSIN PFIZER, ASTRAZENECA TIBA MULAI MINGGU DEPAN
1.4 JUTA VAKSIN PFIZER, ASTRAZENECA TIBA MULAI MINGGU DEPAN
KUALA LUMPUR: Malaysia dijadualkan menerima lebih 1.4 juta dos bekalan vaksin Pfizer dan AstraZeneca melalui beberapa penghantaran sepanjang bulan ini dan bulan depan.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan, ia merangkumi hampir 260,000 dos bekalan vaksin keluaran Pfizer melalui tiga penghantaran sepanjang bulan ini, bermula minggu depan.
Selain itu, katanya, Malaysia juga dijadualkan menerima lebih 1.2 juta dos bekalan vaksin AstraZeneca melalui dua penghantaran pada bulan ini dan bulan depan.
JKJAV berkata, sejumlah 197,730 dos vaksin Pfizer akan diterima pada 19 Mei ini, disusuli 44,460 dos pada 20 Mei dan 17,550 dos lagi pada 21 Mei.
“Sebanyak 259,740 dos bekalan vaksin Pfizer akan tiba antara 19 hingga 21 Mei ini. Jumlah dos Pfizer yang telah dan akan diterima sehingga 21 Mei ialah 2,490,930 dos.
“Bekalan kedua vaksin AstraZeneca dijadualkan tiba pada 20 Mei 2021, dan bekalan ketiga pula pada 1 Jun 2021 dengan jumlah sebanyak 615,120 dos sekali penghantaran,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Setakat 3 Mei lalu, Malaysia sudah menerima 1,938,660 dos vaksin daripada Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca, dengan kadar pemberian vaksin ialah sekitar 75 peratus.
Ketika ini, vaksin Pfizer dan Sinovac diberikan menerusi saluran utama dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), yang mana penerima mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera akan diberi mana-mana jenis vaksin yang ada, lapor BH ONLINE.
Vaksin AstraZeneca pula ditawarkan secara sukarela dan individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin, boleh membuat tempahan mengambil vaksin itu dalam tempoh ditetapkan.
Setakat semalam, lebih 1.78 juta vaksin merangkumi dos pertama dan dos kedua, sudah diagihkan sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu.