1.18 Juta Pengikut ‘Edisi Siasat’ Terkejut Saluran Ditutup
1.18 Juta Pengikut ‘Edisi Siasat’ Terkejut Saluran Ditutup
SELANGOR – Tindakan mengejut kerajaan menyekat akaun Telegram saluran Edisi Siasat yang mempunyai lebih 1.18 juta pengikut mencetuskan persoalan terhadap komitmen Kerajaan MADANI dalam mempertahankan prinsip kebebasan bersuara.
Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Bin Abdul Halim berkata, tindakan tersebut menjadi bukti jelas bahawa agenda reformasi yang sering dilaungkan kerajaan kini hanya tinggal retorik semata-mata.
Menurutnya, penutupan itu dikaitkan dengan dakwaan pelanggaran di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun kerajaan perlu tampil menjelaskan secara terperinci bentuk kesalahan yang dilakukan saluran berkenaan.
“Adalah tidak munasabah mendakwa kandungan saluran itu menghakis kepercayaan terhadap institusi awam dan menggugat ketenteraman masyarakat. Sebaliknya, Edisi Siasat memainkan peranan mendedahkan salah laku, penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah yang berleluasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyiasat pendedahan secara telus dan bukan menutup saluran agar maklumat tersebut tidak sampai kepada rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata Perlembagaan Persekutuan menjamin hak bersuara seperti termaktub dalam Perkara 10 dan mana-mana tindakan menyekat suara rakyat jelas mencabul kebebasan tersebut.
“Tindakan menyekat dan menutup beberapa akaun media sosial yang mendedahkan kelemahan kerajaan membuktikan bahawa agenda reformasi yang dicanang Pakatan Harapan hanyalah sekadar slogan,” tegasnya.
Katanya, sejak ditubuhkan pada 2018, tiada Perdana Menteri atau Menteri Komunikasi sebelum ini pernah mengambil langkah drastik untuk menyekat Edisi Siasat secara agresif seperti yang berlaku ketika ini.-SAHIH
