YES Pahang 2025 Lonjak Kepimpinan Belia Negeri
YES Pahang 2025 Lonjak Kepimpinan Belia Negeri
RAUB – Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang terus memperkukuh agenda pembangunan belia dengan penganjuran Program Pemerkasaan Persatuan Belia (Youth Empowerment Society – YES) Negeri Pahang 2025.
Program itu menjadi platform strategik melahirkan barisan pemimpin pelapis yang berwibawa, berintegriti serta responsif terhadap cabaran semasa.

Fazdli Mohamad Kamal
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fazdli Mohamad Kamal berkata, objektif utamanya adalah membina kepimpinan belia berkualiti, memperkukuh tadbir urus persatuan yang sistematik dan telus.
“Selain itu melahirkan generasi pemimpin mandiri yang mampu berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.
“YES Pahang 2025 bukan sekadar latihan kepimpinan, sebaliknya pelaburan strategik kerajaan negeri dalam menyediakan modal insan berkualiti untuk masa hadapan,” katanya di Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Persatuan Belia (YES) Negeri Pahang 2025, di Kompleks Rakan Muda Raub, Dong Raub, hari ini
Katanya, keberkesanan program ini jelas terbukti menerusi edisi 2024 apabila peserta terbaik kini diberi peluang menjadi fasilitator muda, menyumbang kepakaran mereka untuk pembangunan belia.
“Pelaksanaan YES Pahang 2025 dijalankan secara berfasa, mulai Ogos, peringkat daerah melibatkan 330 peserta daripada 11 daerah dan hanya 10 terbaik setiap daerah dipilih untuk ke peringkat seterusnya.
“Pada September, seramai 120 peserta terbaik akan berkumpul mengikut zon Timur, Tengah dan Barat untuk menjalani latihan intensif tiga hari di Rompin, Maran dan Raub,” katanya.
Fazdli berkata, kemuncaknya pada Oktober, 60 peserta terbaik akan dihimpunkan selama empat hari di peringkat negeri untuk dinilai sebagai pemimpin belia Pahang yang matang, berdaya saing dan berwawasan.
“Peserta terdiri daripada belia bawah 28 tahun, anak jati atau pengundi sah negeri Pahang dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang aktif berpersatuan, berpengalaman di akar umbi serta memiliki ciri kepimpinan jelas.
“Program ini diyakini mampu melahirkan pemimpin muda progresif yang akan mengemudi Negeri Pahang ke arah negeri makmur, inklusif dan berdaya saing, selain berpotensi dijadikan model pembangunan belia di peringkat kebangsaan,” katanya.-SAHIH.