Yayasan Bank Rakyat taja Pendidikan Bahasa Etnik bahasa Kadazandusun, Iban dan Semai di UPSI
Foto : Pelajar Program Saluran Bitara merakamkan kenangan selepas mendaftar.
Yayasan Bank Rakyat taja Pendidikan Bahasa Etnik bahasa Kadazandusun, Iban dan Semai di UPSI
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menerima kemasukan pelajar baharu Program Saluran Bitara di Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI, Profesor Dr Abdul Rahim Razalli, berkata 111 pelajar yang mendaftar adalah daripada 47 pelajar yang mengambil jurusan Bahasa Etnik iaitu Kadazandusun, Iban dan Semai.
Menurutnya, manakala 44 yang lain mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu, 17 lagi Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan tiga pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di bawah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE).
Petugas menyantuni dan membantu pelajar Program Saluran Bitara membuat semakan pendaftaran.
“Ini adalah kali pertama diadakan pengambilan Saluran Bitara di bawah UPSI Holdings dan pelajar yang mula menjalani semasa minggu orientasi.
“Mereka mendaftar dan menghuni di Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah bersama-sama pelajar ijazah pertama yang lain,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komuniksi (FBK), Prof Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad, berkata 30 pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Etnik Dengan Kepujian yang ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Bank Rakyat.
Menurutnya, sebelum itu FBK hanya menawarkan program pengajian Bahasa Kadazan Dusun dan Iban sebagai kursus minor yang kebanyakannya diikuti pelajar dari Sabah dan Sarawak.
Tambahnya, baru-baru ini FBK menerima sumbangan RM7.5 juta daripada Yayasan Bank Rakyat sebagai usaha menggerakkan program pengajian Bahasa Etnik dan bertujuan untuk kemampanan bahasa etnik.
Ketika menyampaikan sumbangan itu di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah baru-baru ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata pembiayaan pendidikan itu khusus bagi mahasiswa yang mengambil pengajian bahasa etnik Kadazan Dusun, Iban dan Semai.
Beliau berharap ia dapat memperlihat identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang berlatarbelakangkan bahasa yang berbeza. – SAHIH.