Warga Emas Permata Tak Ternilai, Perlu Disantuni Dengan Kasih dan Hormat
Foto : Saiful Anuar (lima dari kiri) meraikan kegembiraan bersama-sama warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia selepas diumumkan juara keseluruhan pada Sambutan Hari Warga Emas 2025 LZS.
Warga Emas Permata Tak Ternilai, Perlu Disantuni Dengan Kasih dan Hormat
BATANG KALI – Warga emas merupakan permata tidak ternilai yang wajar dihargai kerana mereka telah melalui pelbagai fasa kehidupan — suka, duka, pengorbanan serta kejayaan — dan tanpa mereka, generasi hari ini tidak akan menikmati kehidupan seperti sedia ada.
Ketua Jabatan Pengurusan Institusi, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saiful Anuar Abdullah Salleh, berkata menghormati dan menyanjungi warga emas bukan sekadar adat, tetapi merupakan amanah moral dan spiritual yang perlu diberi perhatian, khususnya dalam kalangan anak-anak.
“Menghargai orang tua adalah tanda kesyukuran kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah Luqman ayat 14 yang bermaksud, ‘Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu, hanya kepada-Ku tempat kamu kembali’. Maka zahirkanlah rasa syukur itu dengan kasih, perhatian dan penghormatan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Warga Emas 2025 anjuran LZS di Pusat Latihan Asnaf (PLA), Ulu Yam, baru-baru ini. Turut hadir, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ketua beberapa pusat jagaan warga emas di Selangor.
Sambutan tiga hari itu disertai penghuni dari Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Nur Hasanah (PJNH), Al-Fikrah (PJAF) dan Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah, yang diraikan dengan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, pertandingan karom, congkak, dam haji serta acara sukaneka bersama komuniti Masjid Al-Falah, Ulu Yam Bharu.
Acara kemuncak diadakan pada malam kedua dengan majlis makan malam dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan, yang turut memperlihatkan kegembiraan warga emas apabila disantuni dengan penuh kasih sayang.
Menurut Saiful Anuar, sambutan itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebagai wadah menghargai jasa warga emas yang banyak menyumbang kepada pembentukan masyarakat hari ini.
“Program ini menjadi platform memperkukuh kolaborasi antara pusat jagaan, selain menyuntik semangat, keceriaan dan kesejahteraan fizikal serta spiritual dalam kalangan penghuni,” katanya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada semua petugas LZS dan Bait Al-Mawaddah atas komitmen menjayakan sambutan berkenaan serta kerjasama JKM dalam memperkasa kebajikan warga emas.
“Program sebegini juga membantu memberi kesedaran kepada masyarakat dan pembayar zakat tentang peranan LZS dalam membela nasib warga emas agar mereka terus menikmati kehidupan yang sejahtera,” katanya.-SAHIH.
