UPSI Kongsi idea pacu kecemerlangan korporat dengan Universiti Thaksin, Thailand
Foto : : Mohd Shahran ( tiga dari kiri) dan Prof. Madya Dr. Thiptiva bersama rakan kakitangan sempena lawatan penanda aras di.Thaksin University.
UPSI Kongsi idea pacu kecemerlangan korporat dengan Universiti Thaksin, Thailand
MEMPERKUKUHKAN hubungan strategik dan berkongsi amalan terbaik dalam bidang komunikasi korporat serta meningkatkan kualiti imej korporat universiti, Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, mengadakan lawatan penanda aras ke Thaksin University, Thailand, baru-baru ini.
Lawatan yang diketuai Penerbit Rancangan BKK, Mohd Shahran Daud bersama beberapa pegawai kanan BKK UPSI itu telah disambut mesra oleh Naib Presiden (Penyelidikan dan Komunikasi Korporat) Thaksin University, Prof Madya Dr Thiptiva Samphanmit serta pegawai universiti tersebut.
Sepanjang lawatan, pelbagai sesi perkongsian maklumat dan pengalaman diadakan, antara topik utama yang dibincangkan ialah strategi menangani isu semasa membabitkan universiti dan komunikasi berkesan dengan pihak berkepentingan.
“Antaranya ialah, idea untuk meningkatkan kualiti imej korporat universiti melalui pendekatan inovatif dalam perhubungan awam dan jenama; pemanfaatan media, termasuk media sosial dan digital sebagai platform promosi universiti untuk menarik perhatian pelajar antarabangsa dan memperkukuh reputasi global.
“Delegasi UPSI juga berpeluang melawat beberapa kemudahan penting di Thaksin University seperti The Thaksin Folklore Museum yang mempamerkan lebih 50,000 koleksi artifak termasuk bahan seramik, senjata dan peralatan kepercayaan agama Buddha,” katanya.
Menurut Mohd Shahran, lawatan itu bukan sahaja membuka peluang untuk menimba ilmu baharu, malah menjadi platform berkongsi pandangan yang mampu memacu kecemerlangan institusi.
“Kami amat menghargai kerjasama erat antara UPSI dan Thaksin University. Perkongsian ilmu ini sangat bermakna dalam usaha meningkatkan imej korporat universiti dan memanfaatkan media secara maksima bagi menyampaikan mesej kepada khalayak.
“Lawatan ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkasakan peranan komunikasi korporatnya selaras dengan visi universiti untuk menjadi institusi terkemuka pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Katanya, dengan kejayaan lawatan itu, UPSI berharap dapat terus menjalin kerjasama strategik bersama Thaksin University pada masa hadapan khususnya dalam aspek yang memberi impak positif kepada kedua-dua institusi.-SAHIH.