UMNO Jerantut bangkit, tolak politik kotor
UMNO Jerantut bangkit, tolak politik kotor
JERANTUT – UMNO Bahagian Jerantut menegaskan komitmennya untuk bangkit semula sebagai sebuah wadah perjuangan rakyat yang bersih, bersatu dan matang, selepas melalui tempoh sukar akibat krisis dalaman dan badai politik kebelakangan ini.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah, berkata sudah tiba masanya UMNO Jerantut meninggalkan budaya lama yang merosakkan parti dan kembali menjadi pelindung kepada rakyat serta suara keramat bangsa.

“UMNO bukan sekadar catatan dalam buku sejarah, ia adalah nadi dalam darah rakyat, sentiasa berdenyut di dada kita semua.
“Kejatuhan UMNO bukan berpunca daripada musuh di luar, sebaliknya akibat perpecahan dalaman, pengkhianatan serta budaya tikam belakang yang merosakkan kepercayaan dan kekuatan akar umbi,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut Kali Ke-37, di sini hari ini.
Katanya, “Cukuplah! UMNO telah terlalu lama sakit dari dalam, bukan kerana musuh di luar, tetapi kerana tangan-tangan kita sendiri yang merobek kesatuan dan kepercayaan.
“Seluruh ahli UMNO perlu menolak politik kotor, politik sabotaj dan politik dendam yang selama ini menjadi racun dalam perjuangan parti.
“UMNO bukan gelanggang dendam kesumat, tetapi medan menyatukan hati dan jiwa demi agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya.
Haris menegaskan bahawa Jerantut kini berada dalam wadah baharu, lebih bersih, lebih segar dan lebih berani untuk membawa perubahan demi masa depan UMNO dan rakyat kawasan itu.
“Kita mesti buktikan kepada seluruh negara bahawa UMNO Jerantut telah matang, bersatu dan bersedia melangkah ke hadapan,” katanya.-SAHIH.