Tunas Makmur Pahang 2026 ringankan beban pelajar sekolah menengah di Jerantut
Tunas Makmur Pahang 2026 ringankan beban pelajar sekolah menengah di Jerantut
JERANTUT – Kerajaan Negeri Pahang meneruskan keprihatinan terhadap kebajikan dan pendidikan anak-anak negeri ini menerusi Program Penyerahan Tunas Makmur Pahang 2026 (Kotak Alat Tulis) kepada pelajar sekolah menengah sekitar daerah Jerantut, sekali gus memberi suntikan semangat pada awal sesi persekolahan.

Haris Salleh Hamzah menyampaikan kotak alat tulis kepada pelajar hari ini.
Program ini melibatkan seramai 349 pelajar daripada empat buah sekolah menengah iaitu SMK Temin dengan 84 penerima, SMA TAHAP (15 penerima), SMK Jerantut (143 penerima) dan SMK Inderapura (107 penerima).
Ahli Dewan Undangan Lantikan, Haris Salleh Hamzah berkata, sumbangan berkenaan bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa serta memastikan pelajar mempunyai kelengkapan asas pembelajaran bagi memulakan sesi persekolahan dengan lebih teratur dan berkeyakinan.
Pada majlis sama di SMA TAHAP, turut disampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bagi menyokong keperluan serta pelaksanaan aktiviti pendidikan sekolah berkenaan.
Program ini turut dihadiri Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPPD) Jerantut, Puan Zairish binti Zakaria, bersama warga Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut yang memainkan peranan penting dalam menjayakan pelaksanaan inisiatif tersebut.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta Kerajaan Negeri Pahang atas keprihatinan berterusan terhadap kebajikan dan pendidikan anak-anak Pahang.
Penghargaan turut diberikan kepada seluruh warga PPD Jerantut atas kerjasama erat dan komitmen tinggi, diharapkan usaha ini mampu menjadi pemangkin semangat serta sinar harapan dalam membentuk masa depan yang lebih cemerlang buat anak-anak Jerantut.-SAHIH.
