Tujuh penduduk Jerantut sumbang 17 ekor lembu korban di Kemboja
Tujuh penduduk Jerantut sumbang 17 ekor lembu korban di Kemboja
Jerantut – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, seramai enam orang penduduk Jerantut telah menyumbang sebanyak 17 ekor lembu untuk ibadah korban tahun ini di beberapa buah kampung yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini.
Penduduk tersebut terdiri daripada pekebun sawit, ahli perniagaan dan pesara guru telah pergi ke Kampung Jong Prek, Kampung Dobprami Mesa, Kampung Torsangker, Kampung Lngsan Krom, Kampung Prek Kathit, Kampung Koh Thmey, Kampung Long San Koh Thom dalam daerah Kaoh Thum, Wilayah Kandal dan Kampung Cham, Wilayah Cham.
Rombongan itu yang diketuai oleh seorang pengusaha sawit, Azlan Zakaria telah menyumbang sebanyak 17 ekor lembu berharga RM42,500 untuk disembelih di lapan buah kampung tersebut.
Katanya, sumbangan tersebut untuk menunaikan ibadat korban dan sekali gus dapat membantu sesama Islam dalam kalangan penduduk di kampung tersebut yang hidup serba kekurangan.
“Kesedaran ini memberi peluang rombongan kami untuk melakukan ibadah korban di negara ini selain mengenali masyarakat dan budaya setempat,” katanya.
Rakannya, Mohd Fadhilah Zakaria, 51 yang turut menyertai rombongan itu berkata, inilah pertama kali dia menjejakkan kaki di bahagian pedalaman kampung di Kemboja serta dapat melihat sendiri kesusahan penduduk Melayu Champa khususnya ketika menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Saya turut bersimpati serta terpanggil apabila dipelawa untuk melaksanakan ibadat korban di Kemboja secara langsung dapat membantu serta berkongsi rezeki bersama masyarakat Islam di sini,” katanya.
Penduduk Kampung Cham, Zakaria Sop, 49, berkata, dengan kehadiran enam orang penduduk Malaysia menziarah ke kampungnya untuk menunaikan ibadat korban tidak dapat dibalas atas nilai pengorbanan sesama Islam untuk membantu mereka di situ yang hidup serba kekurangan.
“Saya terharu dengan kehadiran orang Malaysia, sudah tujuh tahun kami di sini tidak menyertai ibadat korban kerana miskin dan tiada bantuan pertubuhan Islam dan dermawan dari luar negara ini, hari ini kami sangat bertuah dan bersyukur dapat merasai daging lembu korban.
“Kami bersyukur dan berterima kasih tidak terhingga kerana ada orang Malaysia yang sanggup datang dari jauh untuk memberikan sumbangan lembu untuk ibadat korban tahun ini,” katanya.
Imam Masjid Kampung Long San Koh Thom, Wilayah Kandal, Kemboja, Husen Isa (70) berkata, dia dan penduduk setempat bersyukur dan berterima kasih tidak terhingga kerana sudah lima tahun penduduk di sini tidak merasa daging korban.
“Kami berdoa semoga Allah melimpahkan ganjaran kepada dermawan dari Jerantut, datang memberikan sumbangan lima ekor lembu untuk disembelih dan diagih kepada seramai 685 orang penduduk di sini.,
“Penduduk di situ yang rata-ratanya berpendapatan kurang RM500 (442,635 Riel Kemboja (KHR) tidak mampu membeli seekor lembu berharga antara RM2,500 hingga RM3,000 (antara 500USD – 600USD) untuk ibadat korban sempena setiap kali Aidiladha,” katanya.
Katanya, walaupun ternakan lembu dikira murah dengan harga RM2,500 seekor, tetapi penduduk Islam di luar bandar negara ini (Kemboja) tidak mampu membeli untuk ibadat korban dan hanya mengharapkan bantuan atau sumbangan daripada luar setiap tahun ketika Hari Raya Aidiladha.
“Kami amat bersyukur apabila dermawan dari luar yang sanggup memberikan sumbangan ternakan dan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini cukup bermakna kerana dapat mengadakan ibadat korban dan bergotong-royong majlis jamuan di masjid selepas solat sunat Aidiladha,” katanya.-SAHIH.