Tindakan polis dipuji bantu ‘pengguna’ lintas demi keselamatan orang lain.
Foto atas : Seorang anggota polis menjaga keselamatan jalan raya baru-baru ini.
Tindakan polis dipuji bantu ‘pengguna’ lintas demi keselamatan orang lain.
JERANTUT : Anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jerantut wajar dipuji kerana turut membantu memberi laluan kepada ‘pengguna’ lalu lintas lain demi keselamatan pengguna tegar jalan raya khususnya semasa musim perayaan sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Azman Mat Kamis berkata, sudah menjadi tanggung jawab khususnya anggota polis yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya untuk menjaga keselamatan semua pihak terutama di jalan raya.
“Demi keselamatan orang ramai dan pengguna jalan raya, perkara kecil yang dianggap remeh seperti membantu menghalau haiwan ternakan melintas jalan dan ke kawasan selamat perlu dilihat dari sudut yang lebih positif .
“Biarlah kami (polis) menjalankan tugas agar semua selamat, kalau tidak ditangani dengan baik boleh menjadi tragedi lebih besar sekiranya dibiarkan,” katanya.
Katanya, kepada penternak haiwan pula perlu lebih bertanggung jawab menjaga dan mengawal haiwan ternakan masing-masing agar tidak berkeliaran sewenang-wenangnya khususnya di jalan raya.
“Kejadian kemalangan maut pernah berlaku berkaitan haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran sebelum ini.
“Penternak jagalah haiwan ternakan masing-masing dan kurung di kadang demi keselamatan orang ramai,” katanya.
Katanya, penternak yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya dan kawasan perumahan boleh didakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001.
“Sekiranya berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan, polis akan mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.-SAHIH.