Pelajar Tidak Masuk Kelas Atas Talian Dapat Perhatian Netizen

Sejak negara dilanda virus Covid-19, kebanyakan sektor menukar cara bekerja termasuk sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekolah, universiti tempatan, universiti swasta dan kolej meneruskan sesi pembelajaran melalui atas talian.

Sebagai tenaga pengajar atau guru sentiasa merisaukan keadaan pelajar dan ingin memastikan silibus pembelajaran selesai sebaiknya. Terutama kepada pelajar yang menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Demi pelajarnya, guru tetap bersedia mencurahkan ilmu walau apa jua keadaan. Setiap guru ingin memberikan yang terbaik kepada pelajar supaya dapat keputusan cemerlang dan mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih baik.

Tetapi ada kalanya pelajar yang tidak mempedulikan pelajaran. Perkongsian @skinleas atau tweethandle Nuha di Twitter baru-baru ini menjadi viral apabila tweet mengenai kisah bapanya yang bertungkus-lumus belajar cara membuat kelas atas talian semata-mata untuk mengajar.

Kelas bermula pada jam 8.30 pagi tetapi selepas setengah jam pelajarnya masih tidak masuk. Pernah bapanya membuat kelas atas talian tetapi hanya lima orang sahaja yang masuk daripada 18 orang pelajar.

Lebih menyedihkan hati seorang guru terpaksa menelefon pelajarnya tetapi tidak diangkat ada juga memberikan alasan sedang bekerja.

Sedih melihat bapanya menunggu pelajar di depan laptop, Nuha kemudian masuk ke kelas atas talian tersebut. Bapanya kelihatan sedikit gembira.

Menurut Nuha, jika bapanya bosan menunggu pelajar, bapanya akan mendengar radio, menyanyi sambil makan jagung.

Bapanya yang sudah mengajar hampir 30 tahun masih bersemangat mengajar dan mahukan yang terbaik untuk anak didiknya.

Tweet Nuha mendapat 21.8k retweet dan pelbagai reaksi daripada netizen yang marah dengan sikap pelajar yang tidak menghormati dan tidak bertanggungjawab terhadap guru mereka.

Janganlah kita mengabaikan pembelajaran dan belajar menghormati seorang guru yang sentiasa berkorban.
Terima kasih cikgu!