Pejalan kaki maut dilanggar lori tangki di Bentong
BENTONG : Seorang lelaki warganegara tempatan berusia 30 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 69.7 Lebuh Raya Karak (hala ke Kuantan) dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada 2 November 2022, pukul 12.30 tengah hari, mangsa yang berjalan kaki telah dilanggar oleh sebuah lori tangki yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil sisatan polis mendapati lori tangki tersebut dari arah Raub dalam perjalanan ke Bahau, Negeri Sembilan.
“Setiba di tempat kejadian, seorang lelaki warganegara tempatan dipercayai tiba-tiba berjalan kaki di tengah jalan lalu dilanggar oleh lori tangki yang bergerak di lorong kiri jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang tidak mempunyai pengenalan diri telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, kes kemalangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selanjutnya, beliau memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian tersebut tampil membantu siasatan polis serta meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Gibil Rasiah menerusi talian 013-
8626806.
“Saya dan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong mengucapkan salam takziah buat keluarga mangsa,” ujarnya.
Lori tangi yang melanggar seorang lelaki berusia 30 sehingga maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 69.7 Lebuh Raya Karak (hala ke Kuantan) berdekatan Bentong hari ini.
Anggota perubatan Hospital Bentong berdekatan dengan mayat mangsa yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 69.7 Lebuh Raya Karak (hala ke Kuantan) berdekatan Bentong hari ini.