Jalan-Jalan Di Pulau Tuba Menikmati Gua Batu Kapur

Pulau Tuba adalah destinasi yang jarang dikunjungi oleh pengunjung ketika melancong ke Pulau Langkawi.

Sebenarnya Pulau Tuba sangat cantik dan masih mengekalkan keindahan alam semula jadi yang penuh dengan cerita tersendiri.

Kira-kira 5 kilometer atau 15 minit dari Jeti Pekan Rabu, Kuah ke Jeti Kampung Selat Bagan Nyior, Pulau Tuba.

Pengunjung juga boleh turun di Jeti Teluk Puyuh, Tanjung Pandan iaitu jeti terpanjang di pulau tersebut.

Untuk ke pulau ini, pengunjung boleh menaiki bot atau feri dengan bayaran RM5 hingga RM10 seorang.

Keluasan kawasan Pulau Tuba adalah 17 kilometer persegi yang mempunyai lebih kurang 5,000 penduduk tempatan di kampung nelayan.

Pengunjung menyewa motorsikal untuk mengelilingi Pulau Tuba

Apabila tiba di jeti, pengunjung boleh menyewa van atau motorsikal. Untuk sewa motorsikal perlu membayar RM20 dan pengunjung boleh meronda-ronda menikmati keindahan sekitar kawasan pulau.

Jika pengunjung ingin bermalam di Pulau Tuba, penduduk tempatan ada menawarkan pakej percutian keluarga angkat nelayan yang boleh menginap di perkampungan Pulau Tuba. Penginapan yang ditawarkan dengan harga yang sangat berpatutan.

Pakej percutian keluarga angkat nelayan, pengunjung berpeluang untuk belajar cara menangkap hasil laut dan melakukan aktiviti bersama penduduk tempatan dengan bayaran sekitar RM150 hingga RM300 bergantung kepada jumlah pengunjung.

Gua Wang Buluh – GAMBAR GOOGLE
Gua Kelawar – GAMBAR GOOGLE

Selain daripada mendalami cara kehidupan penduduk tempatan, pengunjung boleh melakukan aktiviti mendaki Gua Wang Buluh dan Gua Kelawar yang lengkap dengan trek pendakian.

Bagaimanapun, untuk mendaki Bukit Batu Licin pengunung dinasihatkan untuk mendaki bersama jurupandu hutan berlesen kerana trek yang masih belum dibuat.

Apa yang menarik di Pulau Tuba adalah bukit-bukau jenis batu kapur yang sudah wujud sejak 350 juta tahun dahulu.

Rugi jika pengunjung tidak ke Bukit Kecik melihat keunikkan formasi katu kapur jenis batuan enapan daripada mineral kalsit dan arogenit yang masih dijaga rapi oleh penduduk tempatan.

Bercakap mengenai makanan popular, Pulau Tuba tidak kurang hebatnya menjamu pengunjung dengan mi udang di Pantai Bagan Asam dengan pemandangan semula jadi hutan paya bakau dan batu kapur.

Pokok bakau ditanam semula untuk menjaga ekosistem setempat

Mengikut sejarah, pulau ini diberi gelaran sebagai Pulau Tuba kerana Pokok Tuba yang tumbuh di kawasan batu kapur yang sukar untuk dilihat di tempat lain.

Selain itu, Pokok Pandan Laut, Orkid Harimau dan Pokok Bogok juga tumbuh di kawasan batu kapur.

Pulau Tuba berdekatan dengan Pulau Dayang Bunting.

Pengunjung tidak perlu risau kerana penduduk tempatan adalah Muslim dan menyediakan kemudahan yang sesuai untuk pengunjung beragama Islam datang ke sini.

Walaupun penduduk di sini mengamalkan gaya hidup yang sederhana tetapi kawasan pulau mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air bersih, klinik, jaringan Internet, tiga buah sekolah rendah dan satu sekolah menengah.