Lidah tersangkut dalam botol minuman

RANAU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun terpaksa menahan kesakitan selepas corong botol minuman yang diminumnya tersekat pada lidah, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, kanak-kanak berkenaan dihantar ke Hospital Ranau, sebelum kakitangan hospital itu menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.49 petang dan dua anggota dikejarkan ke lokasi bersama kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, sebaik tiba anggota bomba mendapati lidah mangsa tersekat pada corong botol minuman, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

“Anggota bomba kemudian memotong dan menanggalkan objek itu menggunakan peralatan khas,” katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi itu berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 10 minit bagi memotong objek yang diperbuat bahan plastik.

“Operasi ditamatkan jam 3.40 petang dan kes diserahkan kepada pihak perubatan hospital untuk rawatan lanjut kepada mangsa,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN