KESAN PENEBANGAN HUTAN, ESCAPE CAMERON HIGHLANDS DIBANTAH

Tarikan terbaru Cameron Highlands, ESCAPE yang berkeluasan 60 ekar bakal menjadi taman tema ala Eropah pertama di Malaysia.

Taman tema ini akan menyajikan pemandangan, persekitaran dan permainan yang berkonsepkan negara tersebut termasuk sebuah lereng ski kering sepanjang 1.2 kilometer dan tinggi 920 meter selain daripada mempunyai lif ski.

Namun, orang ramai membantah projek tersebut dan melancarkan petisyen supaya projek besar tersebut dihentikan.

Sekurang-kurangnya 19 ribu orang menyertai petisyen bantahan itu di laman web change.org dengan tanda pagar #SaveCameronHighlands yang mendapat perhatian warga Twitter.

Petisyen bantahan ini dijalankan kerana orang ramai tidak mahu habitat alam semula jadi di tanah tinggi Cameron Highlands terancam dan berlaku peningkatan suhu apabila penebangan hutan secara besar-besaran.

Kesan Penebangan Hutan Secara Besar-Besaran

Melindungi hutan dan kehidupan alam semula jadi adalah bertujuan untuk memulihara biodiversiti, mencegah berlakunya peningkatan suhu dan perubahan iklim.

Kesan daripada penebangan hutan akan mengakibatkan tanah runtuh kerana struktur tanah semakin longgar disebabkan ketiadaan pokok dan akar yang menjadi pegangan tanah serta tadahan hujan.

Kejadian tanah runtuh tersebut akan menjadi lebih parah apabila berlakunya banjir kilat dan banjir lumpur.

Hal ini akan menyebabkan kematian penduduk tempatan seperti orang asli dan komuniti setempat termasuklah sisa pokok, daun-daun dan haiwan liar yag turut sama terjejas selepas hutan dibersihkan.

Di Malaysia mempunyai lebih 3000 spesis flora dan 5000 spesis fauna yang masih wujud tetapi disebabkan penebangan hutan untuk kemajuan ekonomi telah menjejaskan kehidupan semula jadi dan semua kehidupan hutan mengalami kepupusan.

Untuk mengembalikan habitat liar ini bukanlah mengambil masa yang sekejap dan memerlukan pelbagai sumber untuk seimbangkan kembali ekosistem hutan yang menjadi santuari hidupan liar.

SUMBER : KOSMO!