AirAsia Tambah Jadual Penerbangan Lebih 300 Perjalanan Ke Sarawak Bermula 14 Februari

AirAsia menambah jumlah penerbangan ke Sarawak dengan jumlah penerbangan sebanyak 319 setiap minggu bermula 14 Februari 2022.

Penerbangan AirAsia ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri boleh ditempah menggunakan AirAsia Super App dengan menekan ikon ‘Flights‘ dengan tambang sehala serendah RM108 atau boleh menggunakan mata AirAsia 10,800 mata atau menggunakan akaun kredit untuk menebus tiket penerbangan.

Selain penerbangan ke Sarawak, AirAsia juga menawarkan promosi penerbangan domestik ke Pulau pinang, Pulau Langkawi, Kota Kinabalu, Tawau, Miri dan banyak lagi dengan harga serendah RM18 sehala atau mata AirAsia sebanyak 1,800.

Penerbangan antarabangsa ke Bangkok, Phuket, Phnom Penh, Singapura dan banyak lagi dengan harga bermula RM99 sehala atau dengan 9,900 mata AirAsia.

Promosi tiket tambang murah ini bermula dari sekarang hingga 13 Februari 2022 untuk tempoh perjalanan dari 14 Februari hingga 30 September 2022.

AirAsia bekerjasama dengan Visa menawarkan potongan harga RM15 untuk tempahan tiket penerbangan menggunakan kad Visa dengan perbelanjaan minimum RM200 semasa tempoh promosi berjalan.

AirAsia mengalami sekatan penerbangan selama 20 bulan dan mengambil kesempatan menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangan demi keselamatan tetamu dan kakitangan.

Bagaimanapun, AirAsia hanya menerima penumpang yang sudah divaksin penuh dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang sudah divaksin dua dos termasuk kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal.

Syarikat penerbangan tambang murah itu mengamalkan jenis piawaian keselamatan tertinggi seiring dengan rancangan mitigasi COVID-19 yang termasuk menerima penumpang yang lengkap vaksin sepenuhnya dan mewajibkan proses mendaftar masuk secara kendiri melalui AirAsia Super App juga melancarkan sistem pengecaman wajah FACES menjadikan keseluruhan proses perjalanan secara digital.

AirAsia menubuhkan unit penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) dalaman dikenali sebagai Asia Digital Engineering yang mampu menyelenggara pesawat milik AirAsia dan syarikat penerbangan lain.

SUMBER: AWANI