Surah Al-‘Asr Seru manfaatkan waktu dan berinfak, elak rugi dunia akhirat
Foto : Azman (tengah) merakam kenangan bersama-sama empat Tokoh Maal Hijrah 1447H/2025 Masihi, PJMM, Semenyih, Selangor.
Surah Al-‘Asr Seru manfaatkan waktu dan berinfak, elak rugi dunia akhirat
SEMENYIH – Surah Al-‘Asr yang terdiri daripada hanya tiga ayat, namun mengandungi pengajaran besar kepada umat Islam agar menghargai waktu, beriman, beramal saleh dan saling menasihati dalam kebenaran serta kesabaran bagi mengelakkan kerugian dunia dan akhirat.
Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum, berkata surah ke-103 dalam al-Quran itu bermula dengan sumpah Allah terhadap masa sebagai tanda betapa pentingnya waktu dalam kehidupan manusia.
“Surah ini jelas menunjukkan bahawa manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman, beramal saleh serta saling mengingatkan dalam kebenaran dan kesabaran,” katanya ketika menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Ke mana berakhirnya amalan dan harta kita’.
“Amalan bersedekah dan berinfak merupakan ibadah yang bukan sahaja mendatangkan pahala besar, tetapi juga mampu melapangkan jiwa dan memberikan ketenangan,” katanya sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H/2025M di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; Penasihat PJMM, Mohiadon Bahado; aktivis masyarakat, Datin Dr Noormala Mohd Yusoff; penyumbang, sukarelawan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tetamu jemputan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil dan cenderamata penghargaan kepada empat Tokoh Maal Hijrah PJMM dan pengiktirafan kepada 10 tenaga sokongan yang banyak berjasa dalam menyelia dan mengurus kebajikan warga emas pusat itu.
“Saat ditimpa musibah atau masalah, selain berdoa kepada Allah SWT, berbuat kebaikan termasuk memberi makan kepada orang yang memerlukan adalah amalan mulia yang sangat diberkati,” katanya.-SAHIH.
