SUKARELAWAN WARGA BANGLADESH SALUR BANTUAN
SUKARELAWAN WARGA BANGLADESH SALUR BANTUAN
TEMERLOH: Seramai 14 peniaga warga Bangladesh yang menetap di negara ini menyumbangkan bantuan kepada 150 penduduk terjejas banjir di Taman Desa Kuala Krau, dekat sini, semalam.
Mereka adalah ahli Sukarelawan Warga Bangladesh-Malaysia dan menyumbangkan 14 jenis barangan seperti makanan, telekung, sejadah, kain batik, kain pelikat dan baju batik perempuan kepada penduduk.
Pengerusinya, Datuk Zakaria Hamed berkata, ini adalah bantuan kali ke-4 selepas menyalurkan bantuan sama di daerah Jerantut dan Maran di Pahang, serta bantuan di Kelantan.
DUTA SUKARELAWAN, AZLEE SENARIO BERSAMA SEBAHAGIAN AHLI YANG TURUN PADANG MENYAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA PENDUDUK TERJEJAS BANJIR DI TAMAN DESA KUALA KRAU
Katanya, bantuan akan diteruskan selagi termampu.
“Ini (bantuan) selalu saya akan bagi pasal bagi kita ia sangat mustahak sebagai orang Islam untuk bantu mereka yang dalam kesulitan.
“Bantuan ini ada sejadah 150 set dan telekung ada lebih kurang 200 set, ” katanya.
Sementara itu, Duta kepada Sukarelawan itu, Azlee Senario berkata, selepas ini program bantuan itu akan diteruskan di Pengerang, Kota Tinggi dan Johor Baharu.
“Ini ialah misi kita di Taman Desa Kuala Krau kerana saya rasa banjir yang melanda (kali ini) paling hebat hingga memberi kesan kepada semua mangsa yang terbabit,” katanya.
Sementara itu, penduduk di Taman Desa Kuala Krau, Mastura Abdul Malek berkata, dia mengucap terima kasih atas bantuan itu biar pun berlainan bangsa.
ANTARA BARANGAN SUMBANGAN SUKARELAWAN KEPADA PENDUDUK TAMAN DESA KUALA KRAU
“Pelbagai sumbangan yang mereka bagi antaranya sejadah, makanan.. macam-macam lagi.. tapi saya nak highlight ialah sejadah dan kain sembahyang.
“Air mineral pun ada, pakaian untuk kanak-kanak dan banyak lagi.. saya rasa ini adalah antara sumbangan terbesar yang kami dapat daripada pelbagai pihak sebelum ini,” katanya.
Dalam program sama, pihak pengurusan Masjid Kuala Krau, Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh dan Balai Polis Kuala Krau masing-masing turut menerima 30 helai sejadah.