Subsidi RM100 juta untuk Program Rahmah
Foto atas : Fuziah Salleh melawat Program Jualan Rahman di Pasar Raya Econsave di bandar Jerantut hari ini.
Subsidi RM100 juta untuk Program Jualan Rahmah
JERANTUT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi Program Jualan Rahmah sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata, program Jualan Rahmah diadakan untuk meringankan beban pengguna berbelanja barang keperluan dapur serta penjimatan di bawah Inisiatif Payung Rahmah sempena musim perayaan tahun ini.
“Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan di 134 buah lokasi merangkumi 29 kawasan Parlimen seluruh negara, manakala 11 buah lokasi di Pahang melibatkan jualan di pasar raya secara berperingkat sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Kerajaan berharap lebih ramai pemain dalam sektor industri perniagaan seperti hypermarket dan pasar raya supaya bersama berganding bahu untuk menjayakan program ini,” katanya kepada media sempena lawatan meninjau Program Jualan Rahman di Pasar Raya Econsave di bandar Jerantut hari ini.
Menurut Fuziah, menerusi program ini, penduduk boleh berjimat 20 item barang keperluan dapur dengan harga yang murah, misalnya ayam standard dijual dengan harga RM7.99 sekilogram berbanding harga siling RM9.40 bagi berat yang sama, manakala harga telur gred C berharga RM10 berbanding harga siling, RM12.30.
Katanya, peluang pengguna berjimat berbelanja antara 10 hingga 20 peratus juga melibatkan keperluan seperti ikan, sayur-sayuran, minyak masak, gula,tepung, beras dan barangan yang telah diproses.
“Kita berharap semua penduduk khususnya pengguna di Jerantut mengambil peluang berbelanja Jualan Rahmah dalam tempoh dua hari ini bagi persiapan sepanjang bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.-SAHIH.