STESEN KERETAPI JERANTUT LENGANG
STESEN KERETAPI JERANTUT LENGANG
MEMPUNYAI PLATFORM KEDUA TERPANJANG DI MALAYSIA
STESEN Keretapi Tanah Melayu (KTM) Jerantut yang terletak di tengah bandar Jerantut lengang dan sunyi tidak sebelum ini, ia merupakan nadi penghubung antara bandar dari selatan bermula dari Johor Bharu dan Tumpat, di Kelantan.
Bandar Jerantut yang terletak mengikut jalan darat melalui Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) yang jaraknya kira-kira 200 kilometer (km) dari Kuala Lumpur dan 180 km dari Kuantan mengikut susur keluar ke Plaza Tol Temerloh.
Sejarah stesen ini berdasarkan dengan pembinaan landasan, laluan Pantai Timur bermula pada tahun 1907 daripada Gemas sehingga Bahau pada April 1910 dan seterusnya ke Kuala Tembeling pada tahun 1913.
Kemudian, laluan ini dipanjangkan ke bahagian utara sehingga Kuala Lipis yang merupakan pusat pentadbiran Pahang ketika itu pada tahun 1917, di Kelantan pembinaan laluan Pantai Timur bermula pada tahun 1906.
Pada tahun 1914, landasan kereta api antara Tumpat dengan Pasir Mas turut dibuka kepada awam. Laluan antara Kuala Lipis dan Tumpat dibuka secara berperingkat dan siap sepenuhnya apabila landasan kereta api Gua Musang-Kuala Gris siap pada tahun 1931.
Laluan kereta api ke pantai timur turut dikenali Laluan Hutan atau dengan nama Malaysia’s Jungle Railway, laluan di Pantai Timur ini bermula dari Stesen KTM Gemas, Negeri Sembilan dan berakhir di Stesen KTM Tumpat, Kelantan.
Stesen Gemas adalah tempat pertemuan laluan pantai barat dan laluan pantai timur.
Kedudukan stesen Jerantut yang dekat dengan bandar memudahkan penumpang yang tiba, khususnya pelancong luar untuk mendapatkan perkhidmatan penginapan di bandar dan pengangkutan untuk ke Taman Negara, Kuala Tahan.
Seorang penduduk Jerantut, Nasruddin Ramli (67), kereta api sangat diperlukan oleh penduduk Kampung Kuala Tembeling, Kampung Mela, Kerambit dan beberapa kampung lain ke bandar Jerantut untuk berurusan dengan pejabat kerajaan, membeli belah atau berniaga sebelum ada perkhidmatan pengangkutan lain.
“Ketika itu stesen ini sangat meriah dengan orang ramai yang datang membawa barangan jualan yang ada di pekan sehari yang ada setiap hari Sabtu malah menjadi pengangkutan jarak dekat untuk murid sekolah kerana banyak perjalanan jarak dekat khususnya antara Kuala Lipis ke Mentakab.
“Kalau hujung minggu atau cuti perayaan, kereta api penuh, termasuk haiwan ternakan seperti ayam dan kambing turut berada di atas gerabak selain barang jualan,” katanya.
Katanya, beliau pernah bersekolah di Kuala Lipis pada 1970 dan 1971, kereta api menjadi pengangkutan utama dan pernah duduk di gerabak barang kerana penuh.
Seorang pendidik Anis Huda Amir (32) yang pernah menggunakan perkhidmatan kereta api mulai usia 13 tahun sehingga 17 tahun kerana bersekolah di Sekolah Tun Fatimah Johor Bharu selama 5 tahun mengganggap kereta api sangat diperlukan.
“Kemudian saya melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kota Bharu, selama lima tahun, kereta api menjadi pengangkutan untuk balik ke Jerantut termasuk rakan-rakan lain yang balik ke arah selatan.
“Lucu, pernah tertidur dan terlajak ke stesen Mentakab dari arah Lipis, mujur ada kereta api dari arah selatan menghala ke Tumpat berhenti seketika di stesen Mentakab dan terus tukar gerabak menghala semula ke Jerantut,” katanya.
Katanya, paling tidak suka kalau kereta api lewat dan menangguhkan perjalanan kadang kala sehingga 3 jam, walau begitu kenangan dialami boleh dijadikan cerita kepada anak dan cucu serta berasa dirinya tua dalam kereta api.
Kini, stesen itu lengang, hanya ada perkhidmatan keretapi Ekspres Rakyat Timuran yang tiba dari Johor Bharu di Stesen Jerantut pada jam 4.28 pagi dan Ekspres Rakyat Timuran dari Tumpat tiba di stesen ini pada jam 3.03 pagi.
Menariknya, stesen kereta api Jerantut mempunyai platform sepanjang 410 meter dan kedua terpanjang di Malaysia selepas Stesen Tapah di Perak.
Dikatakan stesen KTM Jerantut dibuka pada tahun 1946.
Klik video di sini https://www.youtube.com/watch?v=3y3cMtFQXvI