Seramai 1,838 Generasi Felda terima STR Generasi Baharu
Foto atas : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyantuni seorang peneroka Felda Jengka 24, semalam
Seramai 1,838 Generasi Felda terima STR Generasi Baharu.
JERANTUT – Seramai 1,838 orang peserta dari tujuh kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar menerima Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang. di Perkarangan Masjid Felda Jengka 24, hari ini
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah menyampaikan peserta STR Generasi baharu dari tujuh kawasan iaitu dari FELDA Jengka 24 seramai 361 orang, FELDA Lepar Utara 3 (262 orang); FELDA Kota Gelanggi 1 (226 orang) dan FELDA Kota Gelanggi 2 (208 orang).
Turut menerima STR itu, Generasi Baharu FELDA Kota Gelanggi 4 (133 orang); FELDA Sungai Tekam (412 orang) dan FELDA Sungai Tekam Utara seramai 236 orang.
Wan Rosdy berkata, peserta STR menerima setiap lot berkeluasan 500 meter persegi sehingga maksimum 909.70 meter persegi.
“Kerajaan Negeri sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat meliputi pelbagai bentuk pembangunan, inisiatif dan juga bantuan tetapi masih ada dalam kalangan rakyat yang terpengaruh dengan persepsi, fitnah dan tohmahan yang sengaja direka oleh sesetengah pihak untuk memburukkan dan menjatuhkan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Penyampaian Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA dan Suratan Hak Milik Felda Jengka 24 Serta FELCRA Bukit Nikmat, hari ini.
Di majlis itu, Wan Rosdy turut menyampaikan Suratan Hakmilik Peneroka FELDA Jengka 24 kepada 292 peneroka yang melibatkan 14 Blok kawasan.
“Sehingga kini seramai 40,861 daripada 43,126 peneroka FELDA di Negeri Pahang telah pun menerima Suratan Hakmilik, bakinya peneroka yang belum menerima Suratan Hakmilik akan turut diberi selepas beberapa perkara teknikal yang perlu diselesaikan,” katanya.
Seorang penerima STR Generasi Baharu, Sakinah Manaf (59), berkata dia bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan negeri yang cakna dengan golongan muda dengan meluluskan Skim Tanah Rakyat (STR) untuk Generasi Baharu, hari ini.
“Saya berterima kasih kepada bekas ADUN Pulau Tawar sebelum ini yang berusaha untuk mendapatkan lot tanah kediaman untuk generasi baharu Felda.
“Saya mewakili generasi baharu dari Felda Kota Gelanggi Satu seramai 226 orang akan menjaga lot tanah kediaman yang diterima dengan baik,” katanya di sini.-SAHIH.