Seorang maut, kemalangan libat lori treler dan Perodua Myvi
Foto atas : Kemalangan berlaku di Lurah Bilut, petang semalam.-Foto BBP Bentong.
Seorang maut, kemalangan libat lori treler dan Perodua Myvi
BENTONG : Seorang lelaki meninggal dunia, seorang cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori treler dan kereta Perodua Myvi di Lurah Bilut, Jalan Bentong-Raub pada jam 6.37 petang, pada Sabtu.
Mangsa, Mohamad Riduan M Shafri, 23, yang memandu kereta maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala penumpang di kereta itu berusia 25 tahun cuma cedera ringan.
Sementara itu, Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub menaiki dua buah jentera bergegas ke tempat kejadian.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki telah tersepit di dalam kereta dan pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
“Anggota bomba mengambil masa hampir 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,”jelasnya.
Katanya, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan alat khas penyelamatan.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raub dengan ambulans. Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba juga bertindak melaksanakan kerja pembersihan serpihan kenderaan akibat kemalangan jalan raya bagi keselamatan orang ramai di tempat kejadian,” katanya.-SAHIH.