Seorang maut dalam kemalangan di Kampung Kedaik, Rompin
Seorang maut dalam kemalangan di Kampung Kedaik, Rompin
ROMPIN : Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Muadzam, berdekatan Kampung Kedaik, Muadzam Shah, Rompin, pada jam 1.41 tengah hari, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai tujuh orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Seorang lelaki dewasa disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala seorang perempuan dewasa mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan telah dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans KKM.
“Pegawai Operasi mengesahkan kemalangan jalan raya melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux telah terbabas dan melanggar tiang elektrik,” melalui satu kenyataan.
Katanya, dua orang mangsa lagi, masing-masing lelaki dan perempuan dewasa terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan oleh anggota bomba dan penyelamat kepada Polis di Raja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.-SAHIH.