Seni syair semakin pudar, perlu bugarkan
Foto atas : Peserta yang menyertai Bengkel Sehari Dendangan Syair Peringkat Daerah Jerantut di SMK Gelanggi 2, baru-baru ini.
Seni syair semakin pudar, perlu dibugarkan
SYAIR merupakan sejenis puisi berlagu yang berasal dari Parsi dan kini semakin pudar popularitinya dan perlu dihidupkan kembali terutama di kalangan pelajar sekolah dan generasi muda .
Justru, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut berganding bahu dengan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Cawangan Jerantut serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelanggi Dua, telah mengadakan Bengkel Sehari Dendangan Syair Peringkat Daerah Jerantut, baru-baru ini.
Pengetua SMK Gelanggi Dua, Zareena Hamzah, dalam ucapan aluannya, menyambut baik bengkel diadakan dan akan terus berkerjasama dengan PPD Jerantut dan DPMP untuk penganjuran di masa depan.
“Program ini sebagai satu kegiatan sihat dalam Kokurikulum tetapi berkait rapat dengan matapelajaran Bahasa Melayu yang boleh meningkatkan kefahamanan serta memberi manfaat kepada pelajar
“Pelajar dapat mengenali ciri-ciri syair yang terdiri daripada 4 baris serangkap dan terdapat syair yang boleh juga dihasilkan dalam 2 atau 3 rangkap dengan lebih depat lagi,” katanya.
Katanya, syair tidak mempunyai pembayang maksud yang berbeza dengan pantun serta terdapat jenis syair romantik, syair sejarah, syair ibarat dan juga syair keagamaan,” katanya.
Penyelaras bengkel tersebut, Zafran Zainal Abidin berkata, seramai serratus peserta dari 26 buah sekolah menengah dan rendah dalam daerah Jerantut menyertai bengkel tersebut.
Katanya, tokoh budaya Melaka dan ahli bitara akademi syair, Norliza Md Yamin turut memberi penerangan berkaitan dengan asal-usul syair, jenis-jenis syair dan cara penyampainya.
“Bengkel ini bakal memberi kesan positif kepada generasi muda dan diharapkan akan dijadikan acara tahunan di daerah ini.
“Pendedahan telah diberikan secara teori dan latihan amali bagi memberi peluang kepada peserta mencuba bakat masing-masing dalam syair,” katanya.
Katanya, selain itu,bengkel itu dapat mencungkil bakat peserta yang bakal mewakili daerah Jerantut ke pertandingan yang dianjurkan oleh pelbagai agensi,” katanya.
Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang Cawangan Jerantut, Nasruddin Ramli berkata, bengkel yang diadakan itu untuk menyuntik minat dan kecintaan masyarakat terhadap puisi Melayu tradisional yang sarat dengan ilmu, nilai dan pengajaran yang tiada tolok bandingannya khusus melalui syair.
“Bengkel ini diharapkan dapat melahirkan bakat muda dan pelapis dalam bidang dendangan syair yang mula pudar dan masih kurang dikuasai oleh golongan muda.
“Bengkel sehari itu mempertingkatkan ilmu kepada guru Bahasa Melayu dan peminat -peminat syair di kalangan pelajar dan murid sekolah di daerah Jerantut,” katanya.-SAHIH.