“Saya Nak Belajar, Tapi Duit Tak Cukup” – Anak Yatim Ini Perlu Bantuan Ke Politeknik
Foto : Rohaiza (kiri), adik bongsu Rosmira dan ibunya, Rohana (kanan)
“Saya Nak Belajar, Tapi Duit Tak Cukup” – Anak Yatim Ini Perlu Bantuan Ke Politeknik
KOTA BHARU – “Saya nak sambung belajar… tapi sampai sekarang masih belum beli apa-apa keperluan pun.” Itulah luahan hati Nurul Rohaiza Abdullah, 19, seorang anak yatim yang kini sedang bergelut untuk mengejar impiannya menimba ilmu di menara gading.
Rohaiza, yang dibesarkan di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Taman Sabariah, telah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Alam Sekitar.
Namun, kegembiraan itu terbatas apabila dia menyedari dirinya masih belum mampu menyediakan keperluan asas untuk mendaftar.
Anak kelahiran Kampung Setek, Kok Lanas ini telah kehilangan bapa sejak enam tahun lalu. Ibunya, Puan Rohana Mat, seorang pembantu kedai makan hanya berpendapatan sekitar RM1,000 sebulan, cukup-cukup makan untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Rohaiza adalah anak kedua daripada tiga beradik. Kakaknya, Nurul Athirah, 23, bekerja di kilang di Pulau Pinang, manakala adiknya, Nurul Rosmira, masih bersekolah di Tingkatan Empat.
Bagi membantu meringankan beban, Rohaiza mengambil upah harian sebagai pembancuh air di sebuah restoran berhampiran rumah, dengan bayaran cuma RM30 sehari.
“Saya cuba simpan sikit-sikit, tapi tak cukup lagi. Beg pun belum ada, apatah lagi yuran dan tambang,” katanya.
Melihat kesungguhan dan ketabahannya, Thirdforce Kota Bharu tampil menggerakkan kempen sumbangan pendidikan untuk membantu Rohaiza memulakan pengajiannya yang dijadualkan bermula 28 Julai 2025.
Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun: Maybank: 153113000732 (atas nama Wan Ahmad Zairi) dan sebarang pertanyaan sila hubungi : 013-932 9821
“Jom pakat jadi orang baik-baik. Hari ini kita bantu anak yatim ini, esok mungkin dia pula yang membantu orang lain.” – Wan Ahmad Zairi, wakil Thirdforce Kota Bharu -SAHIH.
