Sahabat Kelas Al-Quran dan Bekas Pelajar MRSM Wakaf 94 Naskhah Al-Quran
Foto : Penghuni dan warga emas dalam kalangan penduduk kampung mengikuti kelas pengajian agama dan mengaji al-Quran di Pusat Jagaan PEWARIS pada setiap Jumaat.
Sahabat Kelas Al-Quran dan Bekas Pelajar MRSM Wakaf 94 Naskhah Al-Quran
KUBANG PASU – Sahabat Kelas Al-Quran, Bandar Tun Hussein Onn (SKAQBTHO) dan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA Kuala Terengganu 82-86 (XMRSMKT 82-86) telah menjayakan amal jariah dengan menyumbangkan 94 naskhah mushaf al-Quran kepada Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka (PEWARIS) baru-baru ini.
Ketua SKAQ, Alias Ahmad, berkata inisiatif wakaf ini tercetus selepas beliau dimaklumkan oleh Setiausaha PEWARIS, Azmi Mat Napiah, mengenai keperluan pusat jagaan tersebut untuk mendapatkan mushaf al-Quran bagi kegunaan aktiviti keagamaan mereka.
“Apabila kami uar-uarkan, kedua-dua belah pihak, iaitu SKAQ dan XMRSMKT 82-86, sepakat untuk bekerjasama menjayakan program ini. Kami yakin ia bukan sahaja memberi manfaat di dunia, malah menjadi bekalan pahala yang berterusan di akhirat.

Ustaz Alias memberi penerangan mengenai Tausiyah kepada penghuni dan warga emas yang hadir.
“Dalam tempoh singkat, sumbangan daripada ahli SKAQ, XMRSMKT 82-86, serta beberapa individu berjaya mengumpulkan dana untuk pembelian mushaf al-Quran bersaiz A4 yang dilengkapi panduan tajwid berwarna dan terjemahan,” katanya.
Majlis penyerahan al-Quran disempurnakan di pusat PEWARIS, Alias berkesempatan memberikan tausiyah tentang kelebihan menuntut ilmu dan belajar al-Quran. Majlis diteruskan dengan sesi Tahsin Surah Al-Fatihah dan kuliah tajwid yang disampaikan oleh Ustaz Abu Mu’az, aktiviti mingguan yang mendapat sambutan penduduk sekitar.
Wakil XMRSMKT 82-86, Aniza Abd Ghani, menyatakan rakan-rakan bekas pelajar sentiasa menyokong kerja amal jariah.
“Aktiviti sebegini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, malah mengeratkan ukhuwah antara kami semua. Kolaborasi dengan SKAQ adalah usaha berterusan yang telah dipupuk sejak beberapa tahun lalu,” ujarnya.
Azmi Mat Napiah pula menzahirkan rasa bangga dan terharu dengan bantuan pantas ini. Beliau berkata al-Quran yang diwakafkan akan digunakan oleh penghuni dan penduduk kampung yang hadir ke kelas pengajian agama di pusat tersebut, sekali gus menyuntik semangat baharu untuk mendalami ilmu.-SAHIH.