S-GLC Pahang Pacu Pertumbuhan Ekonomi Negeri – Wan Rosdy
Foto : Model projek pembangunan Jerantut Square
S-GLC Pahang Pacu Pertumbuhan Ekonomi Negeri – Wan Rosdy
JERANTUT – Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) Pahang memainkan peranan penting dalam merangsang pembangunan ekonomi negeri menerusi pelaksanaan dasar strategik dan berimpak tinggi terhadap kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan S-GLC terbukti apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang mencatatkan pertumbuhan melebihi kadar nasional selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022.

“Tahun lalu, KDNK negeri mencatat pertumbuhan 5.7 peratus berbanding kadar nasional 5.1 peratus dengan nilai mencecah RM68.7 bilion.
“Malah sejak 2018, KDNK Pahang meningkat 23 peratus, iaitu lebih RM13 bilion, hasil pelaksanaan dasar ekonomi yang strategik, mampan dan menyeluruh,” katanya semasa merasmikan Sambutan 60 Tahun Penubuhan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Rest House Jerantut, hari ini.
Turut dilancarkan dalam majlis tersebut ialah projek pembangunan Jerantut Square serta pembukaan Rest House Baharu, yang dijangka memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi daerah.
Pelaburan RM4 Bilion Dalam Tempoh Enam Bulan
Menurut Wan Rosdy, prestasi pelaburan negeri juga menunjukkan pencapaian membanggakan apabila Pahang berjaya merekodkan pelaburan melebihi RM4 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekaligus menjadi negeri tertinggi dari segi pelaburan di Pantai Timur.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif kerajaan negeri bersama agensi pelaksana, S-GLC, ECERDC, pemain industri serta pelabur yang yakin dengan potensi besar negeri ini,” katanya.

Rangkaian S-GLC Kukuh Pelbagai Sektor
Pahang ketika ini mempunyai sembilan syarikat induk S-GLC dengan lebih 47 anak syarikat yang aktif dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perladangan, perlombongan, infrastruktur, perumahan, utiliti, pengurusan air, pendidikan dan latihan kemahiran.
“Ia bukan sahaja memberi keuntungan kepada negeri, malah turut mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan untuk rakyat, menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah serta mengukuhkan ekonomi komuniti tempatan,” jelas beliau.
PET30 Jamin Pertumbuhan Ekonomi Masa Hadapan
Wan Rosdy menegaskan bahawa kejayaan semasa bukan alasan untuk berasa selesa, sebaliknya kerajaan negeri perlu terus maju ke hadapan dengan strategi baharu dan penyesuaian terhadap perubahan global.
“Berasaskan semangat itu, kita merangka Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30) sebagai pelan jangka panjang yang menjamin pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan, inklusif dan berdaya saing tinggi,” katanya.
Pelabur Asing Akan Dinilai Teliti
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran pelabur luar dan usahawan untuk membuka perniagaan di negeri ini, namun menegaskan bahawa setiap permohonan akan diteliti secara menyeluruh.
“Tidak semua pelabur akan diluluskan serta-merta kerana kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pelaburan dan Majlis Daerah akan menilai perancangan syarikat dari semua aspek sebelum diluluskan.
“Kita mahu pastikan setiap pelaburan membawa manfaat ekonomi kepada negeri dan rakyat,” katanya.-SAHIH