Rosdan Mat: Pencarian terus, walaupun ditemui jasadnya
Foto : Anggota mencari dan penyelamat (SAR) berehat di lokasi pencarian.
LIPIS : Seluruh ahli keluarga Orang Kurang Upaya (OKU), Rosdan Mat (52) tahun yang hilang di Kampung Redan, dekat sini sejak 26 Jun lalu masih mengharap segera ditemui walaupun hanya jasadnya.
Ipar kepada lelaki hilang itu, Adnan Mat Isa (52) berkata, sudah masuk hari ke- 26, pelbagai usaha telah dilakukan selain mencari di sekitar kampung itu termasuk sekitar kawasan kebun getah berdekatan, jalan utama kampung dan jalan utama, Jerantut-Lipis serta di sekitar pekan Mela.
Katanya, penduduk kampung ini dan kampung berdekatan turut dimaklumkan agar sama-sama mencari semasa melakukan kerja menoreh getah di kebun masing-masing.
“Solat hajat dan bacaan Yassin turut dilakukan bagi memudahkan pencarian dan penemuan abang ipar saya malah memohon bantuan ustaz -ustaz, kita hanya berserah kepada Allah SWT agar abang ipar saya ditemui.
“Biarlah ditemui dengan segera walaupun hanya menemui jasadnya kerana usaha pencarian telah dilakukan oleh pasukan keselamatan yang ‘berkampung’ di kawasan kampung ini dan masih meneruskan operasi tanpa Lelah dan jemu,” katanya.
Katanya, petunjuk terakhir ditemui ialah rantai manik yang sering digunakan oleh Rosdan pada 2 Julai lalu digunakan untuk mengikat ‘senapang kayunya’ berdekatan jalan masuk ke kebun getah berdekatan.
“Saya dimaklumkan tempoh pencarian oleh pihak berkuasa keselamatan akan ditambah 14 hari lagi dan sekiranya tidak ditemui operasi akan dihentikan.
“Namun, jika ada petunjuk baharu, mungkin operasi mencari akan dijalankan semula,” katanya.
Adik kepada OKU yang hilang itu , Fauziah Mat (48) berharap abangnya segera ditemui walaupun hanya jasadnya.
“Saya dimaklumkan pencarian sekarang dilakukan di pinggiran hutan di sekitar kampung dan kebun getah di sini.
“Kami berdoa agar ditemui segera samada hidup atau mati, ini memudahkan urusan, kalau abang ‘dah tak ada’ pun kami terima dan reda,” katanya.
Katanya, abangnya sebelum ini pernah hilang selama 3 hari 2 malam pada tahun 2016 tetapi abangnya balik dengan selamat.-SAHIH