Rekabentuk Rumah Raya Pelita raya 2025 MDJ selit elemen seni Melayu
Foto : Rumah Pelita Raya Jerantut 2025
JERANTUT – Rekabentuk sebuah rumah kampung menjadi elemen penting kesenian Melayu dalam persediaan dan persiapan membina Rumah Pelita Raya Jerantut 2025 yang diletakkan di perkarangan Taman I-City, Jerantut, dekat sini.
Tujuan utama elemen ini diketengahkan agar menyedarkan masyarakat setempat tentang adat seni budaya dan falsafahnya yang kian pudar selain dapat mengimbau kenangan bagaimana masyarakat dahulu membuat persediaan menyambut raya seadanya tetapi meriah.
Yang DIpertua Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Datuk Sharuddin Jali berkata, penyediaan Rumah Pelita Raya Jerantut 2025 itu sangat menitik beratkan elemen seni yang terdapat di rumah kampung zaman dahulu dengan mempamerkan persekitaran rumah itu dengan pelbagai elemen.

Rumah Pelita Raya 2025 Jerantut dihiasi lampu
“Di laman rumah terdapat alat lesung kaki untuk menumbuk padi menggunakan kaki sebelum mesin padi seperti sekarang digunakan sebagai lambang penduduk yang mengerjakan sawah padi sebagai makanan utama masyarakat.
“Selain itu, turut mempamerkan tempayan untuk membasuh kaki yang diletakkan di tepi tangga sebelum naik ke rumah menunjukkan bertapa kebersihan diutamakan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, terdapat juga telaga yang memang sinonim di rumah kampung dan pagar buluh turut digunakan untuk mengelilingi rumah atau kebun, malah buluh bukan sahaja tahan lasak tetapi juga mempunyai nilai seni dalam corak susunannya dalam pembinaannya.
“Menariknya, reban ayam atau serkap ayam turut terdapat di sekitar rumah kampung kerana masyarakat kampung dahulu turut memelihara ternakan seperti ayam, itik, kambing atau lembu kerana menjadi penting dalam kehidupan desa untuk sumber makanan dan jualan.
“Pembinaan rumah kampung Pelita Raya 2025 tidak meminggirkan anjung rumah iaitu kawasan separa terbuka di rumah tradisional untuk berehat atau menerima tetamu dan dihiasai seni bina Melayu sering menghiasi anjung dengan ukiran kayu dan reka bentuk yang berfungsi untuk pengudaraan,” katanya.

Kakitangtan MDJ bergambar kenangan di hadapan Rumah Pelita Raya 2025 MDJ
Beliau menambah, meriam buluh yang menjadi alat permainan penduduk kampung khususnya remaja dengan menggunakan karbait dan diisi air untuk menghasilkan bunyi dentuman kuat, selalunya dimainkan di waktu malam menjelang sambutan hari raya.
“Lampu Panjut dipasang di sekitar laman rumah terutama menjelang seminggu sambutan hari raya yang turut digelar ‘lampu tujuh likor’ dan diperbuat daripada buluh atau tin berisi minyak tanah.
“Walaupun Bunga Rafflesia, bunga terbesar di dunia itu tidak menjadi keutamaan di rumah kampung, oleh kerana hidupan ini terdapat di dalam hutan di daerah ini, pihak Majlis Daerah Jerantut (MDJ) mengambilnya sebagai satu simbol yang turut menjadi kebanggaan daerah ini turut dipamerkan di laman rumah ini,” katanya.
Katanya, pembinaan Rumah Pelita Raya 2025 MDJ, halaman rumah melambangkan ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup masyarakat kampung dengan meletakkan kolam ikan.
Pegawai Unit Pelancongan MDJ, Yusliza Mat Yunus berkata, susunan dan binaan di Rumah Pelita Raya 2025 sangat teliti, sebelum membina pihak MDJ berbincang dan meneliti daripada gambar-gambar rumah kampung agar pembinaannya tidak mahu terlepas elemen penting itu.
“Antaranya, membina kolam ikan mini di halaman rumah melambangkan ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup masyarakat kampung.
“Setelah melihat senibina dengan dihiasi pelita di laman rumah itu, terkenang pula saya semasa zaman kanak-kanak yang berlari riang di sekitar rumah malah sekeliling kampung rumah sanak saudara berdekatan.
“Kalau tiada pelita dipasang di sekitar rumah dan laluan ke rumah makcik, pakcik pasti takut kerena gelap, tetapi apabila lampu pelita dipasang, menjadi meriah dan kami sekumpulan kanak-kanak ‘berarak’ dari rumah ke rumah sanak saudara tanda rasa takut kerana terang benderang,” katanya.-SAHIH.