Ramai bertanding jawatan UMNO, tidak bererti berlaku perpecahan dalam parti
Ramai bertanding jawatan UMNO, tidak bererti berlaku perpecahan dalam parti
LIPIS – Ramai yang bertanding untuk merebut jawatan dalam Umno sekarang tidak menjejaskan perpecahan berlaku dalam UMNO, namun membukti kesiapsiagaan ahli parti yang bersedia menggalas amanah walaupun berdepan fasa yang mencabar.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, cabaran utama adalah mengembalikan kepercayaan rakyat dan menarik golongan muda untuk bersama parti dan waktu yang sama meraikan semua individu layak menawarkan diri untuk memberi sumbangan dalam parti.
“Kita perlu faham tentang demokrasi dalam UMNO, amalan demokrasi dalam UMNO itu masih subur, buktinya kali ini adalah pertama kali dalam sejarah, pemilihan kali ini menerima pencalonan teramai untuk semua jawatan yang dipertandingkan.
“Cabaran utama adalah mengembalikan kepercayaan rakyat dan menarik golongan muda untuk bersama parti dan waktu yang sama meraikan semua individu layak menawarkan diri untuk memberi sumbangan dalam parti,” katanya ketika dihubungi..
Katanya, semua ahli perlu menerima hakikat dan mesti bersedia berdepan dengan realiti, oleh itu perlu bersedia menggalas tanggungjawab demi parti yang disayangi ini.
“Mungkin saingan kali ini sengit, bagi saya inilah keindahan dan keistimewaan UMNO yang mana kita sentiasa meraikan hasrat semua pihak dan membuka seluasnya ruang untuk semua bertanding.
“Sangat seronok melihat penglibatan ramai ahli parti bertanding, meriah, bertanding bukanlah bermakna kita bermusuh, lihatlah semua cukup akrab walaupun bertanding sesama sendiri kerana satu sebab, iaitu kami sentiasa meletakkan kepentingan parti lebih utama daripada kepentingan peribadi,” katanya.-SAHIH.