PRP PANTAU BERITA PALSU DI MEDIA SOSIAL
PRP PANTAU BERITA PALSU DI MEDIA SOSIAL
KUANTAN, 10 JULAI : Tidak semua berita palsu yang tersebar di media sosial akan diberi pemakluman di portal rasmi Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Pemakluman itu dilihat kepada kewajaran dan diberi keutamaan kepada berita palsu yang menggugat keselamatan rakyat dan negara, serta menyentuh institusi diraja,agama dan sensitiviti kaum (3R).
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Pasukan Respons Pantas (PRP) di bawah kementerian itu sentiasa memantau berita palsu di media sosial.
“Berita palsu yang tersebar dan menggugat keselamatan serta menyentuh soal 3R akan dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, selain melaporkan kepada platform antarabangsa seperti Facebook untuk menurunkan berita palsu itu.
“Apabila sesuatu berita palsu itu berlaku ada banyak tindakan yang kita lakukan.
“Pertama di bawah KKM ada PRP, pasukan ini memang memantau apa yang berlaku di media sosial dan apabila berita palsu yang wajar diberi pemakluman, maka kita akan keluarkan pemakluman dan setiap hari kita keluarkan pemakluman,” katanya kepada pemberita dalam sidang media secaya maya selepas Perasmian Bengkel Usahawan Pahang Program Pengupayaan Digital, hari ini.
Setakat ini, hanya tiga individu ditangkap dan telah menerima arahan tuduh daripada Pejabat Peguam Negara mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.
Ketiga-tiganya didapati menyebarkan berhubung jangkitan COVID-19 dan vaksin virus itu dengan niat untuk menyebabkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang awam.
Jelasnya, Ordinan itu diwujudkan bukan untuk mengambil tindakan kepada individu atau organisasi yang mengkritik kerajaan.-SAHIH